Najib tidak dapat perbicaraan adil, kata Shafee


Ravin Palanisamy

Peguam Shafee Abdullah mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dipermainkan oleh beberapa individu termasuk pihak pendakwaan dalam kes itu dengan mendakwa beberapa bukti penting disembunyikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam kes RM42 juta SRC International, kata peguamnya Shafee Abdullah.

Shafee berkata Najib dipermainkan oleh beberapa individu termasuk pihak pendakwaan dalam kes itu dengan mendakwa beberapa bukti penting disembunyikan.

Memetik laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini yang mengesahkan RM65 juta dana berkaitan 1MDB diperoleh daripada syarikat yang dikawal oleh Tawfiq Ayman, suami kepada bekas gabenor Bank Negara Zeti Aziz; Shafee berkata mereka sedang mendapatkan kelulusan mahkamah untuk mengakui dokumen ini sebagai bukti serta menyoal saksi baharu kes ini.

“Kami memfailkan notis usul di mahkamah rayuan yang disokong oleh afidavit oleh Najib untuk mengemukakan keterangan lanjut dan bahan yang kami temui baru-baru ini.

“Sejak tiga tahun kebelakangan ini pelbagai pihak berkuasa, penyiasat dan juga pendakwaan mendakwa mereka tidak mempunyai bukti sedemikian,” kata Shafee pada sidang media hari ini mendakwa peguam bela tidak diberi setiap maklumat dan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Shafee berkata Zeti dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil mempunyai peranan besar dalam skandal SRC International dan mendakwa mendapat manfaat daripadanya.

Shafee, peguam utama Najib dalam kedua-dua perbicaraan SRC International dan 1MDB berkata Zeti dan juga bekas Peguam Negara Tommy Thomas sudah mengetahui tentang bukti sedemikian tetapi mendakwa mereka tidak mendedahkan fakta. 

“Kami sentiasa disekat dari maklumat sedemikian dan ia dirahsiakan.

“Pada 19 November SPRM membuat pengumuman mengenai pemulihan aset yang dikaitkan dengan 1MDB, kemudian disahkan oleh Menteri Undang-Undang Wan Junaidi (Tuanku Jaafar) dan pada 24 November Tommy mengakui tahu mengenai peranan Zeti tetapi beliau tidak pernah memberitahu kami.

“Apakah jenis perbicaraan yang dihadapi oleh anak guam saya? Dia menyertai perlawanan tinju dengan sebelah tangan diikat di belakangnya. Dia tidak mendapat perbicaraan yang adil oleh Perlembagaan Malaysia,” kata Shafee. – 2 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen