RUSIA pada Khamis mengumumkan penangkapan tiga pengintip warga Ukraine yang salah seorang didakwa membuat serangan pengganas ketika ketegangan memuncak antara Ukraine dan pemisah pro-Rusia.
Agensi perisikan domestik FSB tidak menyatakan di mana atau bila ia menahan warga Ukraine tersebut.
Katanya dua daripada pengintip yang didakwa - seorang bapa dan anak lelaki - adalah ejen perkhidmatan keselamatan SBU Ukraine yang telah “mengembara ke Rusia untuk mengumpul maklumat dan mengambil gambar serta video perusahaan dan infrastruktur pengangkutan yang penting secara strategik.”
Kedua mereka mengaku telah direkrut oleh SBU, kata FSB, yang menawarkan mereka bayaran AS$10,000.
Warga Ukraine ketiga, yang merancang untuk melakukan serangan, “direkrut dan bertindak atas arahan” pegawai perisikan tertinggi Ukraine, kata FSB.
“Serangan itu dirancang untuk dilakukan dengan meletupkan dua alat letupan buatan sendiri dengan jumlah jisim 1.5 kilogram yang setara TNT,” kata FSB dalam satu kenyataan.
Ia tidak menyatakan di mana atau bila serangan itu akan berlaku.
Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara Ukraine dan pemberontak mesra Moscow, dengan sekutu Barat Kiev mendakwa Moscow merancang untuk menyerang Ukraine pada musim sejuk ini.
Rusia menafikan dakwaan itu, berkata Ukraine telah mengerahkan separuh daripada semua tenteranya berhampiran zon konflik.
Pemisah pro-Rusia merampas kedua-dua wilayah itu pada 2014 sejurus selepas Moscow menguasai Crimea dari Ukraine.
Kiev dan sekutu Baratnya berkata Rusia telah menghantar tentera dan peralatan ketenteraan merentasi sempadan untuk menguatkan kumpulan pemisah, yang mana dinafikan oleh Moscow. – AFP, 2 Disember, 2021.
Komen