AS$2.6 bilion diperlukan untuk bantuan makanan 23 juta warga Afghanistan


Kawasan terpencil di Afghanistan berdepan krisis keselamatan makanan akibat masalah kemarau yang berpanjangan, kejatuhan ekonomi, konflik dan pandemik Covid-19, kata PBB. – Gambar EPA, 2 Disember, 2021.

KIRA-KIRA 23 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan segera makanan, dan AS$2.6 bilion diperlukan untuk tujuan itu pada tahun akan datang, lapor Sputnik, memetik Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan.

“Keperluan kemanusiaan di (Afghanistan) kian meningkat… dengan semua 34 wilayah menghadapi krisis atau tahap kecemasan keselamatan makanan. 
“Akibatnya, kira-kira 23 juta rakyat Afghanistan memerlukan bantuan segera makanan, mengalami kebuluran dan mengancam nyawa akibat kekurangan zat makanan,” kata agensi PBB itu pada Rabu. 

“WFP memerlukan US$2.6 bilion untuk operasinya di Afghanistan pada tahun akan datang.”

Kawasan terpencil di Afghanistan telah menghadapi krisis keselamatan makanan akibat masalah kemarau yang berpanjangan, kejatuhan ekonomi, konflik dan pandemik Covid-19, kata PBB.

Ia menyebabkan peningkatan 80 peratus dalam kos roti – makanan ruji bagi kebanyakan keluarga di negara ini – kata kenyataan itu.

Pengarah WFP Afghanistan Mary-Ellen McGroarty menyeru masyarakat antarabangsa untuk memisahkan keperluan kemanusiaan daripada fahaman politik. – Bernama, 2 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen