Belia tidak boleh mengundi pada PRN Sarawak, kata menteri 


Noel Achariam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pilihan raya kali ini membabitkan daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 2 November tahun ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2021.

PUTRAJAYA mengesahkan bahawa belia berumur 18 hingga 20 tahun tidak boleh mengundi pada pilihan raya negeri Sarawak akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik tidak akan dilaksanakan pada pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 18 Disember ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sudah mewartakan arahan itu, pilihan raya negeri kali ini membabitkan daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 2 November tahun ini.

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa tiada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dalam isu ini. Malah Sarawak sudah sedia menerima pengundi muda ini. Saya harap isu ini tidak dipolitikkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daftar pemilih diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-11 pada 3 November 2021, mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Wan Junaidi berkata, keputusan itu berdasarkan proses undang-undang termasuk keputusan yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kuching dan tidak menafikan atau mengetepikan hak dan kehendak belia berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.

Semalam, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik telah diwartakan dan akan berkuat kuasa pada 15 Disember ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Disember yang diterbitkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ia susulan arahan Wan Junaidi pada 7 September, kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya 31 Disember, bagi mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.

Pada 6 September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya 31 Disember. – 2 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen