Masa untuk fikir tentang vaksinasi wajib, kata ketua EU


Peluncuran vaksinasi Kesatuan Eropah dilaporkan sangat tidak sekata di seluruh blok 27 negara itu, dengan hanya satu pertiga populasi seramai 150 juta orang belum divaksin. – Gambar EPA, 1 Disember, 2021.

SUDAH tiba masanya Kesatuan Eropah (EU) “berfikir tentang vaksinasi wajib” kata ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Rabu, menekankan negara anggota supaya buat keputusan.

“Pendirian peribadi saya… saya fikir ia boleh difahami dan wajar untuk ketuai perbincangan ini sekarang,” katanya pada sidang media, menggariskan satu pertiga daripada 450 juta penduduk EU masih belum divaksinasi.

“Bagaimana kita boleh galakkan dan fikirkan tentang vaksinasi wajib dalam EU? Ini perlu dibincang. Ini perlu pendekatan yang sama. Tetapi ia adalah perbincangan yang saya fikir perlu diketuai,” katanya.

Beberapa negara EU telah pun mengambil langkah ke arah itu.

Austria telah mengumumkan vaksinasi wajib Covid-19 mulai 1 Februari tahun depan manakala Jerman sedang mempertimbangkan.

Greece pada Selasa berkata suntikan akan diwajibkan untuk penduduk berusia 60-an ke atas, manakala Perancis telah berkata pas Covid akan dinyahaktifkan untuk semua orang dewasa yang tidak mendapat suntikan penggalak selepas suntikan terakhir mereka, mulai 15 Januari.

Von der Leyen turut berkata penyedia vaksin Covid utama EU, Pfizer-BioNTech, akan menyediakan suntikan untuk kanak-kanak di blok itu dalam masa dua minggu.

Katanya beliau telah bercakap dengan Pfizer-BioNTech mengenai isu itu sehari sebelumnya, dan mereka berkata “mereka dapat percepatkan, dengan kata lain vaksin kanak-kanak akan tersedia mulai 13 Disember.”

Beliau berkata “jika anda lihat pada jumlah yang kita ada sekarang, 77 peratus daripada orang dewasa di EU yang diberi vaksin, atau jika anda ambil keseluruhan populasi, ia adalah 66 peratus. Ini bermakna satu pertiga daripada populasi Eropah tidak diberi vaksin, ini adalah 150 juta orang”.

Peluncuran vaksinasi EU sangat tidak sekata di seluruh blok 27 negara.

Portugal, Malta, Sepanyol, Itali, Ireland, Perancis dan Belgium semuanya telah memberi vaksin kepada lebih daripada tiga perempat daripada populasi mereka, manakala negara anggota timur Bulgaria, Romania, Slovakia dan Croatia semuanya telah melakukan vaksinasi kurang daripada separuh.

“Kita ada vaksin yang menyelamatkan nyawa, tetapi ia tidak digunakan secukupnya di mana-mana,” kata von der Leyen.

Walaupun Suruhanjaya Eropah telah membeli vaksin Covid untuk kegunaan EU, von der Leyen menekankan setiap negara ada tanggungjawab tentang cara program vaksinasi mereka dilakukan. – AFP, 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen