Rusia, Asean buat latihan tentera pertama di Selat Melaka


Latihan tentera laut di Selat Melaka itu melibatkan Rusia, Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, Myanmar dan Brunei yang menyediakan kapal perang atau pesawat masing-masing, dengan Filipina mengambil bahagian sebagai pemerhati maya. – Gambar Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia, 1 Disember, 2021.

BUAT pertama kali Rusia dan negara Asia Tenggara hari ini memulakan latihan tentera laut bersama di Selat Melaka, salah satu laluan laut paling penting di dunia, kata tentera laut Indonesia.

Latihan itu dibuat ketika ketegangan semakin meningkat di Pasifik, terutamanya di Laut China Selatan, yang Beijing dakwa miliknya.

Kesemua sepuluh anggota Asean, blok serantau Asia Tenggara, menyertai latihan pada Rabu.

Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, Myanmar dan Brunei menyediakan kapal perang atau pesawat masing-masing, dengan Filipina mengambil bahagian sebagai pemerhati maya.

Latihan akan diteruskan sehingga Sabtu.

“Latihan ini tentang keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini,” kata duta Rusia ke Asean Alexander Ivanov dalam satu kenyataan.

Komander armada Indonesia Arsyad Abdullah berkata latihan itu akan “meningkatkan kebolehoperasian dan persefahaman antara tentera Rusia dan Asean”.

Seorang penganalisis memberitahu AFP latihan itu akan mengesahkan semula prinsip ketidakselarasan blok Asean, berikutan ketegangan serantau.

“Penting bagi kita untuk pastikan keseimbangan kuasa di rantau ini, untuk tegaskan yang ini adalah wilayah tidak bersekutu,” kata Connie Rahakundini Bakrie, penganalisis tentera Indonesia dari Institut Kajian Pertahanan dan Keselamatan.

Sebelum ini Asean telah mengadakan latihan bersama tentera laut Amerika Syarikat dan China, manakala Indonesia dan AS mengadakan latihan ketenteraan tahunan terbesar mereka yang dikenali sebagai Garuda Shield pada Ogos. – AFP, 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen