Penggabungan Amanah dalam PKR wajar dipertimbang


SAYA meneliti laporan media terkait pandangan penganalisis politik, Wong Chin Huat yang mencadangkan agar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) bergabung menjadi sebuah parti.

Saya mengusulkan agar cadangan serta pandangan yang dikemukakan oleh beliau diteliti dan dipertimbang sewajarnya oleh majlis pimpinan kedua-dua parti.

Umum sedia maklum, kedua-dua parti memiliki citra politik yang sama yakni mengangkat agenda Reformasi, mendukung prinsip keadilan sosial serta membela hak dan kebajikan rakyat terbanyak.

Penggabungan Amanah ke dalam PKR pastinya akan membantu melonjak dukungan serta membina keyakinan rakyat khususnya pengundi Melayu terutamanya di luar bandar khususnya dalam usaha memenangi sokongan mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Menerusi penggabungan ini juga, semestinya akan menguatkan keupayaan jentera kedua-dua parti di peringkat akar umbi serta membantu menyelesaikan isu pembahagian kerusi pilihan raya yang selama ini menjadi cabaran kepada kedua-dua pihak.

Pada masa sama, penggabungan Amanah ke dalam PKR akan turut mewujudkan ruang kepada pimpinan serta anggota Amanah untuk memperkukuh struktur kepimpinan Keadilan yang mengalami vakum di peringkat pusat, negeri dan cabang sejak berlakunya Langkah Sheraton pada tahun lalu.

Penggabungan parti-parti politik bukanlah perkara yang baru di negara ini. Sejarah telah merakamkan penggabungan beberapa buah parti politik menjadi sebuah entiti, misalnya penggabungan Parti Rakyat Malaysia ke dalam Parti Keadilan Nasional pada 2003 dan juga penggabungan semula pimpinan serta anggota Parti Melayu Semangat 46 ke dalam Umno pada 1996. – 1 Disember, 2021.

 

* Mohd Najwan Halimi, Mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen