Najib fitnah bukan perkara pelik, kata Bersatu


Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menganggap tuduhan itu satu fitnah yang dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2021.

BERSATU menangkis dakwaan Najib Razak bahawa parti jentera propaganda parti itu kini menyerang Ismail Sabri Yaakob untuk menumbangkan perdana menteri itu dengan isu kenaikan harga barang.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menganggap tuduhan itu satu fitnah yang tidak menghairankan kerana dibangkitkan oleh tokoh seperti perdana menteri keenam itu.

Bersatu tidak bersikap seperti Najib yang sanggup menggulingkan perdana menteri, kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

 “Najib kata Bersatu susun propaganda untuk jatuhkan PM. Saya nafikan. Ini fitnah. Tapi tidak pelik fitnah itu datang dari Najib.

“Itulah kata-kata orang berpengalaman bersama rakan-rakannya yang pernah jatuhkan PM. Dia ingat semua orang perangai macam dia?” katanya.

Wan Saiful juga berkata, isu kenaikan harga barang sememangnya menjadi keresahan serius anggota masyarakat dan Najib tidak perlu menyalahkan pihak lain.

Beliau juga mempersoalkan sekiranya Najib yang kini dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta itu sengaja membangkitkan isu tersebut untuk mengalih perhatian masyarakat.

Ini kerana keputusan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd itu bakal diputuskan pada 8 Disember, kata Wan Saiful.

Beliau menjawab dakwaan Najib semalam mendakwa ejen propaganda Bersatu dan Perikatan Nasional menyerang Ismail dengan isu kenaikan harga barang tersebut.

Isu berkenaan rancak diperkatakan minggu lalu, selari dengan kempen publisiti Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di media arus perdana.

Mengulas lanjut dakwaan tersebut, Wan Saiful berkata rakyat sepatutnya melihat semula prestasi Najib sewaktu menangani masalah kenaikan harga barang ketika menjadi perdana menteri keenam. – 1 Disember, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen