Isteri raja dadah El Chapo dipenjara 3 tahun


Peguam Mariel Colon Miro yang mewakili isteri El Chapo, Emma Coronel Aispuro tiba di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan terhadap anak guamnya. – Gambar EPA, 1 Disember, 2021.

HAKIM menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Emma Coronel Aispuro, iaitu isteri kepada ketua dadah Mexico yang kini dipenjarakan Joaquin “El Chapo” Guzman.

Emma disabitkan bersalah atas tuduhan mengedar dadah dan pengubahan wang haram.

Hukuman itu dianggap ringan kerana pendakwa memohon penjara sekurang-kurangnya empat tahun.

Hakim berkata Emma hanya seorang remaja ketika berkahwin dengan ketua dadah itu, dan beliau sedia mengaku bersalah selepas ditahan pada Februari lalu.

Emma, 32, bekas ratu cantik memohon maaf ketika dihadapkan di mahkamah.

“Saya kesal dengan segala perbuatan saya yang mungkin menyukarkan orang lain,” katanya dalam bahasa Sepanyol sebelum hukuman dijatuhkan.

“Saya turut menderita apabila keluarga saya turut sengsara dengan perbuatan saya.”

Emma memohon kepada mahkamah untuk membenarkannya membesarkan anak perempuan kembarnya yang berusia sembilan tahun. – AFP, 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen