.jpg)
PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meneliti isu nasional yang melanda seluruh rakyat Malaysia terkait kenaikan harga barang di seluruh negara yang melibatkan barangan makanan asas seperti ayam, sayur, roti, minyak masak dan sebagainya.
Isu kenaikan harga barangan bukanlah satu fenomena yang baru berlaku pada hari ini dan bukan sahaja berlaku di Malaysia malah juga di peringkat global.
Kenaikan harga barang mentah yang mendadak sehingga 200% akan memberi impak yang sangat teruk kepada rakyat kebanyakan khususnya golongan B40 yang baru sahaja ingin memulihkan semula pendapatan mereka dampak pandemik Covid-19 yang melanda sejak awal tahun lalu.
PKPIM menyatakan keprihatinan kami terhadap nasib rakyat Malaysia khususnya para mahasiswa yang bakal menghadapi masalah besar sekiranya kenaikan harga barang seperti makanan asas harian tidak dikawal mengambil kira keperluan mahasiswa yang sudah mula kembali ke universiti sejak Oktober lalu.
Oleh itu, PKPIM menggesa kerajaan agar menangani segera kemelut kenaikan harga barangan mentah ini dengan:
i. Memperkenalkan baucer barangan runcit atau food stamp seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan UK untuk membantu mengurangkan beban golongan rentan.
ii. Memberikan subsidi kepada pengusaha kafe di universiti supaya kenaikan harga barangan mentah tidak mempengaruhi harga makanan di universiti.
iii. Memperkasakan lagi usaha pemantauan melalui KPDNHEP terhadap pembekal, pemborong dan peruncit supaya tiada orang tengah yang mengambil kesempatan menaikkan harga dan marjin keuntungan yang berlebihan ketika krisis ini.
iv. Mempergiatkan usaha R&D dan memanfaatkan tenaga pakar dalam negara untuk menghasilkan sendiri bahan-bahan mentah seperti baja, benih dan dedak supaya negara tidak terlalu bergantung kepada bahan import yang dimonopoli oleh negara luar yang secara tidak langsung memberi kesan besar terhadap kenaikan harga barang di Malaysia.
PKPIM berpandangan kawalan terhadap harga barangan di pasaran dalam usaha pemerkasaan terhadap sekuriti makanan, di mana jaminan bekalan makanan yang cukup, harga yang berpatutan serta makanan yang bernutrisi merupakan asas utama bagi dasar berkenaan.
Sekiranya tiada intervensi kerajaan dalam mengawal harga barangan mentah pada masa sekarang, rakyat bukan sahaja akan miskin malah terpaksa berlapar kerana tidak mampu membeli barang makanan asas harian mereka. – 1 Disember, 2021.
* Ahmad Firdaus Hadzir, Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen