Pelancong Mesir, Nigeria, Malawi dilarang masuk Kanada


Kanada menguatkuasakan sekatan kemasukan dari Mesir, Nigeria dan Malawi susulan kebimbangan penularan varian Omicron, tambahan kepada tujuh negara Afrika yang turut disekat. – Gambar AFP, 1 Disember, 2021.

KANADA turut mengenakan sekatan terhadap pelancong dari Mesir, Nigeria dan Malawi susulan kebimbangan penularan varian Omicron, menjadikan 10 negara Afrika dikenakan perintah itu.

“Warga asing yang transit atau tinggal di 10 negara berkenaan tidak boleh memasuki Kanada jika mereka berada di negara tersebut dalam dua minggu lalu,” kata Menteri Kesihatan Jean-Yves Duclos pada sidang media.

Langkah itu berkuat kuasa mulai hari ini, katanya.

Rakyat Kanada atau penduduk tetap yang pernah berada di mana-mana daripada 10 negara itu perlu dikuarantin semasa ketibaan dan mengambil ujian Covid-19.

Duclos berkatadalam beberapa hari akan datang semua pengembara udara yang tiba dari luar Kanada, selain Amerika Syarikat (AS) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di tempat kemasukan mereka, dan diasingkan sehingga keputusan ujian diterima.

“Pandemik belum berakhir. Peraturan mengenai perjalanan boleh berubah pada bila-bila masa,” kata Menteri Pengangkutan Omar Alghabra.

Kanada pada Jumaat melarang kemasukan pelancong dari tujuh negara di selatan Afrika iaitu Botswana, Swaziland, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Ahad lalu, Kanada mengesahkan ia mengesan kes pertama strain Omicron, menerusi dua individu yang ke Nigeria, baru-baru ini.

Kanada melaporkan 1,791,902 kes Covid-19 dan 29,681 kematian. – AFP, 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen