WHO nasihat golongan rentan tidak vaksin tangguh perjalanan


Sebanyak 56 negara mengambil langkah waspada melaksanakan sekatan perjalanan bertujuan mengurangkan kes import berkaitan varian Omicron. – Gambar EPA, 1 Disember, 2021.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa golongan rentan termasuk individu berusia 60 tahun ke atas yang belum lengkap divaksin menangguhkan perjalanan ke lokasi dengan penularan dalam komuniti varian Covid-19 Omicron.

“Individu yang belum divaksinasi sepenuhnya atau tidak mempunyai sejarah jangkitan SARS-CoV-2 sebelum ini dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk sehingga boleh membawa maut.

“Ia termasuk individu berumur 60 tahun ke atas atau golongan dengan komorbid (seperti penyakit jantung, kanser dan diabetes) dinasihat menangguhkan perjalanan ke kawasan yang ada penularan komuniti,” kata WHO dalam kenyataan berhubung nasihat perjalanan mengenai varian Omicron.

Menurut WHO, varian baharu yang membimbangkan itu secara global amat berisiko tinggi dan ia mendorong banyak negara menutup sempadan masing-masing.

“Larangan perjalanan menyeluruh tidak akan menghalang penyebaran varian ini di peringkat antarabangsa, dan ia mengundang beban yang berat kepada kehidupan dan mata pencarian.

“Ia juga boleh memberi kesan buruk kepada usaha kesihatan global ketika pandemik dengan menghalang negara untuk melaporkan dan berkongsi data epidemiologi dan penjujukan,” katanya.

Varian Omicron yang pertama kali dilaporkan kepada WHO selepas dikesan di Afrika Selatan minggu lalu, kini menular di beberapa negara.

Situasi itu mendorong peningkatan jumlah kerajaan yang memperkenalkan langkah perjalanan, termasuk melarang sementara ketibaan dari negara tempat varian itu ditemui.

Ahad lalu, WHO berkata, sebanyak 56 negara mengambil langkah waspada dengan melaksanakan sekatan perjalanan bertujuan mengurangkan kes import berkaitan varian baharu itu. – AFP, 1 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen