SEORANG pelajar berusia 15 tahun didakwa melepaskan tembakan di Sekolah Menengah Oxford, di bandar Michigan, dan menyebabkan tiga pelajar lain terbunuh sebelum ditahan, kata polis.
Enam yang lain termasuk seorang guru cedera dalam serangan berlaku tengah hari semalam, kata Pejabat Sherif Daerah Oakland dalam satu kenyataan.
Pelajar tingkatan dua itu ditahan dan sepucuk pistol dirampas, tetapi tidak ada penjelasan berkenaan motif yang mendorongnya melakukan serangan itu.
Oxford ialah sebuah bandar kecil kira-kira 65km di utara Detroit.
“Tiada pergelutan semasa suspek ditahan dan dia meminta diwakili peguam dan tidak membuat sebarang kenyataan mengenai motif,” kata pejabat .
“Ia adalah keadaan yang sangat tragik. Tiga mangsa maut pada masa ini, yang semuanya dipercayai pelajar.
“Keadaan ini menyebabkan ibu bapa kecewa,” kata Sherif Michael McCabe kepada pemberita.
Polis berkata mereka menerima lebih 100 panggilan kecemasan selepas tengah hari semalam, dan penembak melepaskan 15 hingga 20 das tembakan selama kira-kira lima minit menggunakan pistol separa automatik.
Bagaimanapun, suspek sudah ditahan dalam tempoh lima minit daripada panggilan 911 pertama dibuat, kata mereka. – AFP, 1 Disember, 2021.
Komen