Pengarah filem ngeri, seram, Haneke akan hasilkan siri TV distopia


"Apa yang saya suka adalah filem yang tak membawa saya tenggelam dalam kebodohan," kata Haneke. – Gambar Facebook, 31 Januari, 2018.

PENGARAH terkenal dengan filem psikologi, ngeri dan bervisi, Michael Haneke dikhabar akan menghasilkan siri televisyen pertamanya.

Penerbitnya berkata, mereka telah mendapatkan persetujuan dengan Haneke untuk menghasilkan 10 bahagian siri bertema masa hadapan bertajuk “Kelvin’s Book.”

“Setelah 12 filem dan 10 filem TV, saya teringin untuk buat cerita yang panjang pula,” kata Haneke, 75, yang pernah memenangi Oscar pada 2012 untuk filem “Amour” yang turut memenangi anugerah festival filem Cannes, langsung menjadikan beliau pengarah sederhana yang berjaya merangkul dua anugerah sekali gus.

Haneke terkenal dengan filem ngeri/seram seperti “The Piano Teacher” dan “Funny Games” akan menghasilkan siri televisyen pertamanya.

“Kelvin’s Book” akan dihasilkan dalam bahasa Inggeris, kata Nico Hofmann, dari UFA, syarikat produksi Jerman.

“Tidak ada pengarah kontemporari yang menyentuh dan memberi pengaruh saya selain Michael Haneke,” katanya.

“‘Kelvin’s Book’ adalah kisah yang kaya, mencengkam dan jauh ke hadapan. Dengan tema kontemporari dan cerminan zaman digital yang kita lalui kini, inilah masa yang sesuai untuk projek ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila siri ini akan memulakan penggambaran atau bila ia akan mula ditayangkan. – AFP, 31 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen