Tiada bukti aktiviti menyalahi undang-undang dilakukan Zahid, kata peguam


Hailey Chung Wee Kye

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2021.

PIHAK pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi tidak menjumpai sebarang bukti aktiviti menyalahi undang-undang oleh presiden Umno itu, peguamnya memberitahu mahkamah hari ini.

Ketua peguam bela Hisyam Teh Poh Teik berkata 27 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap bekas timbalan perdana menteri itu, membabitkan badan amalnya Yayasan Akalbudi, tidak dapat dibuktikan kerana tiada pelanggaran undang-undang.

“Tiada aktiviti haram berhubung derma kepada Yayasan Akalbudi,” kata Teh kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Teh berkata pihak pendakwaan menuduh Zahid menjalankan skim pengubahan wang haram dan mengamalkan kawalan terhadap hasil haram dengan memberi arahan kepada pengurup wang Omar Ali Abdullah dan peguam Muralidharan Balan Pillai dari Tetuan Lewis & Co.

“Pihak pendakwaan merujuk kepada Seksyen 4(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan membuat kesimpulan terdapat aktiviti menyalahi undang-undang berdasarkannya,” kata Teh, merujuk kepada pihak pendakwaan.

“Adalah jelas Omar Ali tidak melakukan sebarang kesalahan perbankan di bawah undang-undang perbankan,” kata Teh.

Peguam itu menambah yang Muralidharan juga tidak melanggar mana-mana undang-undang.

Di bawah akta tersebut, transaksi mencurigakan mesti dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dalam kes ini merujuk kepada Bank Negara.

Tetapi Muralidharan berkata tidak ada, dan semua transaksi adalah sah untuk tujuan amal, Teh mengingatkan mahkamah.

Zahid, yang merupakan ahli Parlimen Bagan Datuk, menghadapi 47 pertuduhan - 12 pertuduhan jenayah pecah amanah, 27 pertuduhan pengubahan wang haram, dan lapan pertuduhan rasuah - melibatkan dana berpuluh juta ringgit milik yayasan amalnya Yayasan Akalbudi.

Sebanyak 25 daripada pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan Zahid yang didakwa memberi arahan kepada Muralidharan daripada Lewis & Co., yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi. 

Pertuduhan berkaitan dana lebih RM53 juta yang didakwa diperoleh aktiviti menyalahi undang-undang yang diletakkan dalam akaun simpanan tetap.

Pertuduhan ke-26 membabitkan RM7 juta yang dimasukkan ke akaun simpanan tetap yang kemudiannya dikeluarkan oleh Lewis & Co., dengan RM5.9 juta akhirnya digunakan untuk membeli dua lot banglo di Country Heights, Kajang, bagi yayasan agama abang Zahid yang dikenali sebagai Yayasan Al-Falah.

Dalam pertuduhan ke-27, Zahid didakwa mengarahkan pengurup wang Omar menukar wang tunai RM7.5 juta kepada 35 cek yang diberikan kepada Lewis & Co. untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap.

Pihak pembelaan hari ini juga berhujah yang mahkamah jenayah memperoleh bidang kuasa mendengar pembelaan terhadap tuntutan imuniti Zahid.

Terdahulu, pihak pendakwaan berkata ia sepatutnya memfailkan semakan kehakiman mengenai imuniti untuk Zahid di mahkamah sivil. 

Zahid mendakwa beliau sepatutnya mempunyai imuniti daripada pertuduhan itu kerana mendedahkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatannya.

Perbicaraan diteruskan pada Isnin di depan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah. – 30 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen