Anwar gesa kerajaan segera tangani kenaikan harga barang


Ragananthini Vethasalam

Isu kenaikan mendadak harga barang keperluan asas terutamanya bahan mentah seperti sayur dan ayam perlu ditangani segera, gesa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2021.

KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini mendesak kerajaan bertindak segera bagi menangani isu kenaikan mendadak harga barang keperluan asas terutamanya bahan mentah seperti sayur dan ayam.

“Kerajaan negeri dan persekutuan mesti ambil tindakan segera kerana harga sayur, ikan, ayam dan lain-lain naik dengan mendadak.

“Seperti yang bangkitkan di Parlimen pagi tadi, ini adalah krisis negara yang membebankan rakyat,” katanya kepada pemberita semasa melawat tapak gerai Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Shah Alam hari ini.

Pada sidang Dewan Rakyat sesi pagi tadi, Anwar menegaskan semua agensi kerajaan perlu bertindak pantas, bukan masih mengadakan perancangan untuk menganjurkan program dan sebagainya.

“Sekarang, hari ini, kita nak tahu apa langkah bukan sahaja kementerian tetapi seluruh kerajaan menyelesaikan masalah ini. Ini krisis negara.”

Bercakap kepada pemberita, Anwar memuji usaha PKPS mengeluarkan hasil tanaman sendiri di ladang Selangor Fruit Valley di Bestari Jaya, yang dijual pada harga rendah dan berpatutan.

Usaha PKPS itu katanya patut dicontohi agensi pertanian lain di peringkat negeri dan persekutuan.

“Walaupun semasa krisis, PKPS mampu menurunkan harga kerana mereka ada ladang sendiri yang menjimatkan kos,” kata Anwar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia mulai 4 Disember bagi membantu rakyat ketika harga barang keperluan asas melonjak naik kebelakangan ini.

Program tersebut akan dilaksanakan dua kali sebulan membabitkan 222 kawasan Parlimen, dan menawarkan harga barangan 15 hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran, katanya.

Minggu lalu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil langkah segera menangani kenaikan harga sayur yang meningkat hingga 200%.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid bagaimanapun berkata hasil siasatan KPDNHEP mendapati dakwaan CAP itu tidak berlaku.

“(Mengenai) harga sayur yang dikatakan hingga 200% kenaikan, tetapi hasil siasatan kita mendapati bahawa bila kita tanya di mana ia berlaku, tidak ada.

“...bila pegawai penguat kuasa kita ke lapangan untuk melihat dan meninjau apa yang dimaklumkam, jadi bila tanya CAP mereka tidak boleh tentukan di mana, cuma mereka kata hanya cakap-cakap,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat minggu lepas. – 30 November, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen