Pengundi Cina mula jauhi Pakatan, kata Ilham Centre


Alfian Z.M. Tahir

Pengundi Cina mula menjauhi PH sejak PRK Tanjung Piai, membawa ke PRK Slim dan PRN Melaka baru-baru ini, kata Ilham Centre. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2021.

PENGUNDI Cina mula menjauhi Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, kata Ilham Centre yang mendedahkan dapatan tinjauannya.

Berdasarkan dapatannya, badan pemikir bebas itu membuat kesimpulan perubahan undi juga berlaku pada PRK Slim di Perak serta pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ilham Center berkata PH masih mendapat sokongan undi Cina di kawasan yang mempunyai lebih 50% pengundi Cina.

“Pada PRK Tanjung Piai, kita meramalkan Perikatan Nasional (PN) akan menang besar manakala PH akan menerima tamparan hebat. Ketika itu kaum Cina semakin menjauh kerana isu Jawi dan beberapa isu lain.

“Pada PRU lalu, PH menerima 94% undi Cina tetapi kini angka itu 71%. Jurang yang besar. Undi pergi kepada Barisan Nasional (BN).

“Di Melaka PH tewas di kerusi campuran, di mana bukan Melayu memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan PH pada PRU14 dan PH hanya berjaya bertahan di kawasan lebih 50% pengundi Cina,” kata Ketua Penyelidik Ilham Centre Prof Dr Yusri Ibrahim.

Pada PRN Melaka, PH menang di Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kesidang, Kota Laksamana dan Bukit Katil.

Daripada lima kerusi itu, empat kerusi dimenangi DAP dan Adly Zahari daripada Amanah mengekalkan kerusi Bukit Katil.

Pada PRU lalu, DAP memenangi lapan kerusi tetapi pada PRN, parti itu hilang kerusi Bemban, Gadek, Duyong dan Pengkalan Batu.

Pengkalan Batu sebelum ini diwakili calon bebas Norhizam Hassan Baktee – yang menang atas tiket DAP pada PRU14, tetapi keluar parti itu untuk menjatuhkan kerajaan PH pada Mac tahun lalu.

PH khususnya DAP, mendapat sokongan besar daripada bukan Melayu pada PRU14.

Daripada lima kerusi PRN Melaka dimenangi PH, empat milik DAP dan Adly Zahari daripada Amanah mengekalkan kerusi Bukit Katil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2021.

PH menang di Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Perak, Kedah dan Sabah manakala mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang.

Yusri berkata pengundi Cina menentang idea PH untuk menerima Idris Haron dan Nor Azman Hassan.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan Ilham Centre, selain kaum Cina, golongan belia, pengundi kelas pertengahan dan atasan semuanya menentang tindakan PH membenarkan dua bekas Umno itu bertanding guna tiket pembangkang.

“Sebanyak 74% responden bersetuju katak politik tidak boleh dicalonkan, 64% responden tidak bersetuju dengan PH menerima Idris dan 63% merasakan Idris tidak sepatutnya menjadi calon PH.”

“Akibatnya, di Asahan, Idris kalah teruk kerana bukan Melayu tidak mengundi bekas menteri besar itu,” tambahnya.

Kerajaan negeri Melaka tumbang selepas empat wakil rakyat menarik sokongan mereka kepada kerajaan negeri BN/PN pimpinan Umno.

Pembelotan pada 4 Oktober itu diketuai orang kuat Umno negeri Idris, dengan sokongan Nor Azman Hassan, Norhizam dan Noor Effandi Ahmad.

Hanya Noor Effandi yang tidak bertanding pada PRN lalu.

Ilham Centre menemu bual 1,051 responden daripada semua kaum berumur 21 hingga 60 tahun.

Tinjauan itu diadakan pada 23 Oktober hingga 15 November.

Pada PRN Melaka, PH bertanding di semua 28 kerusi tetapi hanya menang lima. PKR kalah semua 11 kerusi yang ditandinginya manakala DAP menang empat dan Amanah menang satu.

BN memperoleh 21 kerusi (75%) manakala PN memenangi dua kerusi. – 30 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen