.jpg)
PENDIRIAN Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) adalah tuntas, sepertimana pendirian atas doktrin tanggungjawab bersama jemaah menteri yang memutuskan bahawa sekolah vernakular tidak akan dimansuh (mungkin dalam situasi semasa) atas keterbatasan keputusan jemaah menteri berdasarkan keputusan kabinet menurut Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.
Armada kekal atas prinsip dan citra nasional yang telah diputuskan secara kolektif oleh Armada berdasarkan teras cita perjuangan nasionalisme yang dibawakan untuk menjayakan agenda perpaduan dan integrasi nasional bagi melihat roh Bangsa Malaysia diterjemah menerusi proses sosialisasi yang utama di bawah satu bumbung di peringkat sekolah.
Justeru Armada kekal dengan pendirian bahawa Sekolah Vernakular wajar dimansuhkan secara berperingkat, apatah lagi sekiranya Bahasa Melayu tidak dimartabatkan dan persejarahan Malaysia disongsangi menerusi silibus di sekolah vernakular!
Armada sememangnya sedar dan tidak jumud selain kepentingan memperkasa sistem pendidikan negara sebegitu kesedaran akan kepentingan hari ini untuk masyarakat mempelajari bahasa pengantar kedua mahupun ketiga selain Bahasa Inggeris seperti Mandarin dan Tamil.
Apatah lagi dalam memaknai rencam kemajmukan bangsa dalam tanah pusaka Malaysia untuk berdiri atas makna kecintaan silang budaya dan bahasa dalam negara, namun segenapnya perlu dijayakan bawah satu bumbung, bukan dipisah-pisah sistem pelaksanaannya dan Bahasa Melayu kekal menjadi teras pemerkasa perpaduan.
Bagi menjawab lontaran tohmahan YB Steven Sim pula, ingin diajukan pertanyaan adakah bait seperti “bagi aku negara genap segala arti” dan pelbagai lagi laras kata puitis hanyalah retorika politik beliau untuk menang hati orang Melayu?
Tapi sebaliknya menjadi duri dalam daging menggagalkan perencanaan integrasi bangsa Malaysia atas teras Melayu (bahasa dan penulisan) Nah! Malaysia tidak lupa betapa tegar DAP dan institusinya cukup membela sekolah vernakular dan menolak tulisan jawi!
Tidak mungkin YB Steven yang asyik dalam bermadah tidak meneliti peratusan anak-anak bukan Melayu di sekolah jenis kebangsaan yang tidak boleh bertutur pun bahasa kebangsaan.
Ini merupakan suatu realiti, mereka lahir di Malaysia, mereka mendiami negara ini dan negara ini telah menjadi kampung halaman mereka, tetapi tetap gagal bertutur bahasa kebangsaan.
Bangladesh, Pakistan, Nepal yang duduk baru beberapa bulan, ramainya lebih fasih malah masuk setahun dua tatabahasa yang bukan warga ini lebih baik tambah tanpa pelat mengalahkan mereka yang punyai kad pengenalan biru, warganegara Malaysia – sedarlah!
Sedarlah dan usahlah berdalih konon nak merubah sikap dan pemikiran kaum Melayu atas nama kesedaran ‘Bangsa Malaysia’ dengan segenap madah kamu semata walhal tersimpan segenap muslihat penipuan dan tidak berlaku adil dengan matlamat sebenar, dalam pada hipokrasi saat tetap membela segenap yang memecah-belahkan agenda integrasi dan penyatuan segenap kaum.
Jujur, sejauh mana keberanian Steven Sim pula untuk bicara soal sampai bila Cina nak cakap Cina biarpun orang Melayu dan India ada kat depan?
Sampai bila nak tegur mereka yang pelat gagal fasih berbahasa? Selain dari membuai khayal Melayu yang lunak dengan propaganda Hang Tuah boleh bicara 12 bahasa!?
Bagus orang Melayu, kita terus maju ke hadapan! Pastikan anak cucu kita meresapi semangat Tun Tuah sepertimana anjuran Steven Sim ke atas kaum kita untuk kita terus maju!
Ya, anak Melayu kena berbahasa Mandarin, Tamil, Inggeris, Arab, Perancis dan sebagainya. Bukti mercu Melayu yang berjaya!
Jangan kita jadi kolot, sehingga bahasa kebangsaan sendiri kita tolak, kononnya tiada nilai komersial atas maharnya. – 30 November, 2021.
* Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, Ketua Penerangan Armada Bersatu Nasional.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen