SEORANG lelaki di Amerika Syarikat disyaki menembak dan membunuh empat anaknya serta nenek mereka.
Suspek telah ditangkap dan kini dalam siasatan polis.
Empat kanak-kanak terbabit semuanya berumur bawah 12 tahun, disahkan mati di tempat kejadian di bandar Lancaster, dekat Los Angeles.
Nenek kanak-kanak itu yang berusia dalam lingkungan 50-an juga maut dalam kejadian tembak pada petang Ahad.
Kesemua mangsa mempunyai kesan tembakan di bahagian atas badan mereka, kata pegawai penguatkuasa.
Pejabat Syerif Daerah Los Angeles berkata Germarcus David, 29, telah ditangkap kerana disyaki melakukan pelbagai pembunuhan, dan ditahan dengan jaminan $2 juta.
Los Angeles Times melaporkan David adalah seorang pengawal keselamatan yang lesen senjata apinya telah dibatalkan.
Akhbar itu memetik seorang lelaki bernama Waki Jones, yang berkata beliau telah membawa dua daripada kanak-kanak terbabit—Amaya, 12, dan Demarcus, berusia sembilan tahun—ke sekolah rendah dan pusat asuhan selama beberapa tahun.
“Amaya seorang gadis yang baik…Dia sentiasa melindungi adiknya, memastikan dia selamat di sekolah,” kata Jones kepada akhbar itu.
“Sukar dipercayai. Saya tidak percaya mereka sudah tiada.”
Keganasan senjata api adalah masalah besar di Amerika Syarikat, didorong oleh undang-undang senjata api yang longgar dan penjualan senjata api. – AFP, 30 November, 2021.
Komen