PRESIDEN Joko Widodo (Jokowi) berkata Indonesia akan memastikan pelaburan domestik dan asing yang telah dilaksana dan yang sedang serta bakal dijalankan adalah selamat dan terjamin.
“Sekali lagi, saya beri jaminan kerajaan akan memastikan kebolehpercayaan dan keselamatan pelaburan di Indonesia,” kata Jokowi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata menteri kabinet yang berkaitan telah digesa untuk membuat tindakan susulan berhubung keputusan itu.
Hakim Mahkamah Perlembagaan minggu lepas bersetuju bahawa kaedah penggabungan atau undang-undang cipta kerja atau omnibus law adalah tidak jelas dan proses perbincangan akta itu tidak mengikut peraturan.
Mahkamah mengeluarkan perintah supaya kerajaan menyemak semula bahagian undang-undang itu dalam tempoh dua tahun. Undang-undang itu diwujudkan tahun lepas bertujuan menarik pelabur asing.
“Saya akan terus memimpin dan memastikan kebolehpercayaan undang-undang dan sokongan kerajaan untuk kemudahan pelaburan serta kemudahan menjalankan perniagaan,” kata Jokowi.
Pelabur Malaysia terus memperluas pelaburan di Indonesia berjumlah AS$12.53 bilion.
Lima memorandum persefahaman dan perjanjian bernilai US$3.1 bilion telah dimeterai sektor swasta kedua-dua negara ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Indonesia awal bulan ini. – Bernama, 29 November, 2021.
Komen