Polis rampas, sita dadah, aset lebih RM10 juta


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain berkata pihaknya dan polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Gombak dan Puchong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 November, 2021.

POLIS menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi menerusi enam siri serbuan di sekitar Selangor, hasil penahanan 10 lelaki tempatan pada 22 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Razarudin Husain berkata kegiatan sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu berjaya dibongkar pihaknya, menerusi serbuan yang dijalankan serentak oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, antara jam 12.10 hingga 4.30 petang sekitar Gombak dan Puchong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain berkata pihaknya telah merampas sejumlah 19.7kg dadah heroin base; 43.1kg dadah heroin; 3.2kg pil ekstasi dan 110kg serbuk dadah MDMA dianggar bernilai RM8.09 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 November, 2021.

Menerusi serbuan tersebut pihaknya juga turut membongkar aktiviti pemprosesan dadah dipercayai jenis heroin, yang dijalankan di sebuah premis rumah kedai di sekitar kawasan Bukit Puchong, Puchong.

“Hasil serbuan di kesemua lokasi itu, pihak kami telah berjaya merampas sejumlah 19.7 kilogram (kg) dadah heroin base; 43.1kg dadah heroin; 3.2kg pil ekstasi dan 110kg serbuk dadah MDMA dianggar bernilai RM8.09 juta,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.

Razarudin berkata bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

Polis berkata nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan lebih RM10 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 November, 2021.

Selain itu, katanya polis turut merampas dan menyita aset-aset sindiket berkenaan termasuk pelbagai jenis kenderaan mewah, barang kemas serta tindakan pembekuan akaun bank serta wang tunai, bernilai lebih RM2.039 juta.

“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan lebih RM10 juta,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Razarudin Husain berkata bekalan dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 November, 2021.

Razarudin berkata saringan awal pihaknya terhadap 10 suspek tersebut mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin dan lapan daripadanya mempunyai rekod lampau dadah serta jenayah.

Katanya kes tersebut kini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek telah direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 November lalu. – Bernama, 29 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen