Jalan darat Malaysia-Singapura dibuka semula hari ini


Tambak Johor dibuka semula hari ini di bawah inisiatif VTL darat. – Gambar EPA, 29 November, 2021.

SERAMAI 350 pengembara menaiki 12 bas dari Singapura telah tiba di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral di Johor Bahru setakat tengah hari ini, menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata kerajaan negeri membuat persediaan rapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi menerima ketibaan pengembara dari republik itu.

Mengenai pengesanan satu kes positif Covid-19 yang dikesan di pintu masuk negara pada hari pertama VTL di Johor Bahru, Solihan berkata tindakan pantas diambil.

“Lelaki itu negatif semasa di Singapura tetapi positif di sini, ia menunjukkan sistem kita berkesan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di Johor Bahru hari ini.

Tambahnya, lelaki berkenaan dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjalani ujian saringan RT-PCR, sebelum dikuarantin di Pusat Kuarantin di bandar raya ini. – Bernama, 29 November, 2021.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen