.jpg)
KOS haji Muassasah terakhir pada tahun 2019 yang ditanggung oleh jemaah haji Malaysia ialah RM 9,980. Kos sebenar adalah lebih kurang RM22 ribu.
Subsidi haji yang ditanggung oleh Lembaga Tbung Haji (TH) hampir RM12 ribu setiap individu jemaah melibatkan kos hampir RM380 juta setahun dibiayai oleh TH.
Untuk pengetahuan, kos subsidi haji sejak 2009 tidak pernah dinilai semula sedangkan kenaikan kos sebenar haji meningkat setiap tahun dari RM12 ribu tahun 2009 kepada RM 22 ribu tahun 2019.
Kos dibayar oleh para jemaah Muassasah kekal RM9,980 sejak 2009 hingga kini.
Beban kepada TH menanggung subsidi haji tanpa perubahan kos yang dibayar oleh para jemaah haji telah dibuat kajian menyeluruh semasa zaman Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian usaha kelestarian kewangan TH.
Walau bagaimanapun Kabinet menetapkan kos ibadat haji dibayar oleh jemaah haji Muassasah dikekalkan kepada RM9,980 melalui pelaksanaan secara berperingkat dan penjelasan konsep Istitha’ah untuk melakukan haji (syarat kemampuan).
Pengumuman kos haji yang meningkat kepada RM30 ribu diumumkan oleh timbalan menteri agama baru-baru ini perlu diperincikan termasuk kesan kos kepada para jemaah.
Ini masanya untuk menteri agama bersikap telus dengan menilai semua perincian kos secara penjimatan maksimum bagi kurangkan bebanan kepada para Jamaah dan untuk menjaminkan kelestarian prestasi kewangan TH.
Kami menyarankan supaya subsidi haji hanya diperuntukkan kepada mereka yang layak secara bersasar dan bukan diberikan secara umum. Mekanisme yang sesuai perlu dirangkaikan secara telus untuk pengetahuan bakal para jemaah.
Tiba masanya kenaikan kos haji pasca pandemik kepada RM30 ribu seperti diumumkan dibuat penstrukturan semula secara menyeluruh dengan tidak membebankan para jemaah yang memerlukan bantuan tetapi pada waktu yang sama mengawal bebanan kos subsidi haji yang menjejaskan kelestarian kewangan TH.
Semoga bakal para jamaah haji dipermudahkan urusan mereka dan bersikap terbuka dengan mekanisme baharu, sebagaimana orang awam juga perlu mendapat penjelasan secara bertanggungjawab rasional kos baharu haji.
Kami juga menyeru supaya isu ini tidak dipolitikkan sehingga menjejaskan keperluan meneliti kenaikan kos ini secara objektif dan saksama. – 29 November, 2021.
* Jawatankuasa Agama & Rahmatan Lil Alamin Pakatan Harapan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen