Botswana kesan 19 kes varian baharu Covid-19 


Hanya lebih 20 peratus daripada penduduk Botswana telah diberi vaksin sepenuhnya.– AFP, 29 November, 2021.

BOTSWANA merupakan satu-satunya negara Afrika di luar Afrika Selatan yang merekodkan kes Omicron. 

Negara itu pada Ahad merekodkan 19 kes jangkitan baharu varian berkenaan, termasuk empat yang direkodkan minggu lalu. 

“Sehingga hari ini kami telah merekodkan sejumlah 19 kes varian itu,” kata Menteri Kesihatan Edwin Dikoloti pada sidang media di ibu negara Gaborone.

Negara selatan Afrika itu pada Jumaat mengisytiharkan bahawa varian yang sangat bermutasi itu dikesan pada empat warga asing yang memasuki Botswana pada 7 November dalam misi diplomatik.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas saintis Afrika Selatan mengenal pasti varian itu, mencetuskan larangan perjalanan bagi penerbangan dari rantau itu.

Kebanyakan daripada 19 kes Botswana datang dari luar negara, kata Dikoloti, dan ramai yang telah menghadiri acara yang sama.

Botswana enggan mendedahkan asal usul empat diplomat itu, dengan mengatakan ini akan terus “mempolitikkan” virus itu.

“Kami bimbang seolah-olah terdapat cubaan untuk mencemarkan negara yang mana ia dikesan,” kata Dikoloti, merujuk kepada beberapa laporan media yang menggambarkan Omicron sebagai “varian Botswana”.

“Pengesanan dalam kes ini dianggap sebagai asal,” katanya.

Negara berpenduduk 2.4 juta itu telah melaporkan sekitar 194,900 kes koronavirus dan 2,416 kematian sejak wabak itu bermula.

Hanya lebih 20 peratus daripada populasinya telah diberi vaksin sepenuhnya.– AFP, 29 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen