Hujan lebat dijangka terus landa Kanada 


British Columbia merekodkan kadar hujan yang tinggi pada pertengahan November menyebabkan banjir dan tanah runtuh.– Gambar EPA, 29 November, 2021.

WILAYAH barat Kanada, British Columbia, sedang bersiap sedia untuk berdepan hujan lebat yang mungkin menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh lebih buruk berbanding dua minggu lalu.

“Kami berada salah satu siri bencana paling hebat yang pernah kami lihat di sepanjang pantai B.C.,” kata Menteri Keselamatan Awam British Columbia Mike Farnworth pada satu taklimat.

Beliau berkata ribut seterusnya yang akan melanda rantau Pasifik, dijangka lewat Isnin hingga Rabu.

“Ia boleh menjadi yang paling kuat berbanding yang melanda dua minggu lalu.”

Menteri itu berkata keadaan kini “tidak menentu” dan memberi amaran kepada penduduk supaya bersedia untuk arahan pemindahan, kemungkinan banjir meningkat dan lebuh raya ditutup.

British Columbia merekodkan kadar hujan yang tinggi pada pertengahan November menyebabkan banjir dan tanah runtuh. 

Cuaca ekstrem itu turut menyebabkan kerosakan jalan raya dan jambatan serta memaksa ribuan penduduk meninggalkan rumah mereka. 

Setakat ini bencana itu menyebabkan sekurang-kurangnya empat maut dan seorang hilang.

Perdana Menteri Justin Trudeau turut melawat kawasan yang terjejas pada Jumaat, selepas mengerahkan tentera untuk membantu membina beg pasir.

“Keadaan cuaca ekstrem akan menjadi lebih kerap,” katanya memberi amaran. – AFP, 29 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen