SEKURANG-kurangnya 10 orang cedera selepas gempa berukuran 7.5 magnitud menggegarkan utara Peru pada Ahad.
Gegaran itu turut memusnahkan bangunan kediaman dan menara gereja.
Menurut Institut Geofizik Peru, gempa terbabit berpusat pada kedalaman 131 kilometer.
Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 10 orang cedera manakala lebih 75 buah rumah musnah.
Gegaran turut menyebabkan kerosakan di negara jiran Ecuador.
Pusat gempa dikesan di 98 kilometer ke timur bandar kecil Santa Maria de Nieva di Amazon Peru—kawasan yang jarang penduduk dan didiami oleh orang asli Amazon.
“Pergerakan itu sangat besar,” kata datuk bandar bandar itu, Hector Requejo, kepada radio RPP.
Sebahagian besar kawasan terlibat turut mengalami masalah bekalan elektrik dan jalan raya terputus akibat gegaran itu.
“Kami semua terpaksa lari ke jalan raya, kami sangat takut,” kata seorang penduduk bandar utara Chota, Lucia kepada radio RPP.
“Saya bersolidariti dengan penduduk Amazon dalam menghadapi gempa bumi kuat,” kata Presiden Peru Pedro Castillo di Twitter. “Kamu tidak keseorangan, saudara-saudara.”
Beliau berkata beliau telah mengarahkan semua kementerian yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera. – AFP, 29 November, 2021.
Komen