Bekas PM pertama Kemboja meninggal dunia


Putera Norodom Ranariddh dipilih sebagai perdana menteri pada 1993 selepas bertahun-tahun Kemboja bergelut dalam perang saudara. – Gambar fail EPA, 28 November 2021.

BEKAS perdana menteri pertama Kemboja, Putera Norodom Ranariddh meninggal dunia pada usia 77 tahun di Perancis, umum menteri penerangan negara itu di Facebook.

Ranariddh dipilih sebagai perdana menteri pada 1993 selepas bertahun-tahun Kemboja bergelut dalam perang saudara.

Bagaimanapun, beliau digulingkan dalam rampasan kuasa berdarah oleh angkatan tentera yang setia kepada Perdana Menteri Hun Sen pada 1997.

Ranaridh meninggal dunia pada pagi Ahad berikutan penyakit yang dihidapinya, kata Menteri Penerangan Khieu Kanharith dalam catatan di Facebook sambil memetik pegawai istana.

Hun Sen dalam surat takziah dihantar kepada isteri Ranariddh, berkata Kemboja “kehilangan seorang pembesar diraja cemerlang yang mencintai negara, agama dan raja”.

Abang saudara kepada Raja Norodom Sihamoni menyifatkan Ranariddh sebagai seorang yang bercita-cita tinggi di kalangan kerabat diraja Kemboja tetapi berdepan cabaran getir dalam kerjaya politiknya.

Beliau memenangi pilihan raya Kemboja yang ditaja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1993 ketika mengetuai parti diraja Funcinpec, akan tetapi terpaksa menerima Hun Sen sebagai perdana menteri bersama.

Hun Sen menggulingkan beliau dalam rampasan kuasa empat tahun kemudian dan reputasi Ranariddh terus terjejas akibat tuduhan rasuah.

Ranariddh menerima pengampunan pada 2008 atas satu sabitan penipuan yang menyaksikan beliau dipecat daripada parti Funcinpec. Beliau cuba membuat kemunculan semula sebanyak dua kali namun gagal. – AFP, 28 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen