Indira Gandhi: Alhamdulilah, Islam terlepas daripada fitnah


TANGGAL 29 Januari 2018 merupakan tarikh yang cukup bermakna buat Indira Gandhi yang telah berjuang selama ini mencari keadilan untuk diri dan anak-anaknya. 

Keadilan sebagai seorang isteri, seorang ibu bahkan seorang rakyat minoriti dalam negara ini. 

Keputusan Mahkamah Persekutuan meleraikan kekusutan dalam isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah terhadap apa-apa yang berkaitan dengan agama Islam. 

Kekusutan yang telah berlanjutan ini memberi gambaran negatif mengenai pentadbiran agama Islam di Malaysia kerana seperti badan agama ini dengan sengaja mencampuri urusan agama lain dan bersikap tidak toleransi. 

Salah faham ini jika tidak ditangani segera bakal menambahkan ruang pegeseran antara agama dalam negara ini.

Kes Indira Gandhi bermula apabila suaminya telah menukar agama Islam dan mengambil tindakan sepihak untuk menukarkan ketiga-tiga anaknya menjadi penganut Islam. 

Pendaftar Mualaf Perak telah mengeluarkan sijil penukaran agama kepada ketiga-tiga anak Indira walaupun mereka tidak pernah mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Pendaftar. 

Fakta ini jelas dan tidak dipertikaikan. Suaminya juga dengan sengaja memohon kepada Mahkamah Syariah hak penjagaan ketiga-tiga anaknya tanpa menyelesaikan urusan perkahwinan di mahkamah sivil. Tidak cukup dengan itu, suaminya telah mengambil seorang anak kecilnya berusia 11 bulan tanpa pengetahuan Indira dan sehingga kini, tiada khabar berita.

Perlu diingatkan, bahawa perkahwinan antara Indira dan suaminya merupakan perkahwinan sivil yang didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Penceraian) 1976. Sedari awal lagi, mereka bukan Islam dan ketiga-tiga anak mereka adalah beragama Hindu. Titik kekalutan bermula apabila suaminya telah memeluk agama Islam dan menukarkan agama kesemua anaknya ke dalam agama Islam tanpa keizinan Indira. Tahu-tahu sahaja, kesemua mereka diisytiharkan sebagai orang Islam.

Maka, Indira dengan tekad mengambil langkah untuk mencabar pengeluaran sijil penukaran agama kerana ia bercanggah dengan Seksyen 96(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang memperuntukkan prosedur berikut untuk dipatuhi sebelum seseorang itu bergelar Islam: 

Seksyen 96. Kehendak-kehendak bagi pemelukan agama Islam.

(1) Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi pemelukan sah agama Islam oleh seseorang:

Orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahsa Arab secara yang semunasabahnya jelas;

Pada masa dia mengucap dua kalimah Syahadah itu, orang itu mestilah sedar bahawa kalimah itu bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W. ialah Pesuruh Allah”; dan pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

(2) Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak perenggan (1)(a), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan menggunakan isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (1)(b).

Setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Indira, keenam-enam Responden (Pathmanathan a/l Krishan, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendafta Mualaf, Kerajaan Negeri Perak, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia) telah menfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Mahkamah Rayuan kemudiannya telah mengakas (overruled) keputusan Mahkamah Tinggi. 

Seterusnya, Indira Gandhi telah membuat percubaan terakhir dengan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 3 persoalan perundangan yang perlu dijawab oleh Mahkamah Persekutuan. Tiga soalan tersebut adalah seperti berikut:

Sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa eksklusif merujuk kepada seksyen 23, 24 dan 25 dan Jadual kepada Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (dibaca bersama dengan Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012) dan/atau bidangkuasa asas (inherent) untuk menyemak tindakan Pendaftar Mualaf atau wakilnya yang bertindak sebagai pihak berkuasa awam dalam menjalankan kuasa statutorinya yang telah dinyatakan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak?

Sama ada anak yang lahir daripada perkahwinan yang didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan & Penceraian) (“perkahwinan sivil”) yang belum mencapai umur 18 tahun mesti mematuhi seksyen 96(1) dan 106(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak (atau mana-mana peruntukan serupa di setiap undang-undang negeri seluruh negara) sebelum Pendaftar Mualaf atau wakilnya mendaftarkan penukaran agama anak tersebut kepada Islam?

Sama ada ibu dan ayah (sekiranya kedua-dua masih hidup) kepada anak yang lahir daripada perkahwinan sivil perlu memberi kebenaran sebelum sijil penukaran kepada agama Islam dikeluarkan terhadap anak tersebut?

Mahkamah Persekutuan dengan tegas menjawab ketiga-tiga soalan dengan afirmatif (ya) dan menjelaskan kedudukan Mahkamah sivil yang mempunyai kuasa kehakiman terhadap mana-mana undang-undang yang digubal termasuk enakmen pentadbiran agama Islam. 

Mahkamah sivil sentiasa mempunyai bidang kuasa menyemak tindakan mana-mana pihak berkuasa awam yang dilihat bercanggah (ultra vires) enakmen negeri atau undang-undang Persekutuan. 

Mahkamah Persekutuan turut membezakan kedudukan Mahkamah Syariah yang dengan Mahkamah sivil dengan menyatakan Mahkamah Syariah diwujudkan oleh perundangan Negeri manakala mahkamah sivil adalah sebahagian daripada rangka kerja perlembagaan. 

Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa menjalankan semakan kehakiman dan hanya mempunyai bidangkuasa terhadap individu yang beragama Islam. 

Lebih menarik, Presiden Mahkamah Rayuan, Yang Arif Zulkefli bin Ahmad Makinudin menyatakan terlebih dahulu bahawa para hakim dalam mengadili kes ini, tidak terpengaruh dengan kepercayaan agama dan sentimen terhadap isu ini. Beliau juga memetik kata-kata bekas Ketua Hakim Negara Suffian di Braddel Memorial Lecture, yang cukup perlu dijadikan panduan kepada kita semua: 

“In multi-racial and multi religious society like yours and mine, while we judges cannot help being Malay or Chinese or Indian; or being Muslim or Buddhis or Hindu or whatever, we strive not to be too identified with any particular race or religion – so that nobody reading our judgment with our name deleted could with confidence identify our race or religion, and so hat the various communities, especially minority communities, are assured that we will not allow their rights to be trampled underfoot”

Kenyataan ini cukup penting kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk mengambil sikap tidak memihak kepada mana-mana agama atau bangsa dalam menjalankan tugas. Hal inilah keadilan sebenar seperti yang pernah dinyatakan dalam Surah An-Nisa ayat 58:

“...Dan apabila kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil”

Konsep keadilan ini yang berjaya digambarkan dalam penghakiman Indira Gandhi ini. Ketidakadilan yang timbul akibat penukaran agama tanpa mematuhi enakmen Negeri perlu dibaiki segera demi memulihkan imej agama Islam di Malaysia. Keputusan ini telah meletakkan hak kepada yang berhak dan membetulkan apa yang terkhilaf. 

Umat Islam seharusnya berlapang dada dan menelusuri fakta kes Indira Gandhi ini dengan rasional. Tidak timbul Islam menang atau kalah, tetapi yang pasti Islam tidak lagi menjadi mangsa fitnah akibat kekhilafan badan agama. 

Keputusan mahkamah ini juga selari dengan firman Allah S.W.T dalam Surah Al Baqarah: ayat 256 yang bermaksud “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama Islam”. Firman ini merupakan panduan kepada umat Islam untuk tidak memaksakan kepercayaan kepada mana-mana individu apatah lagi melalui saluran perundangan. Islam sentiasa berdiri atas usaha dakwah dan melarang kezaliman ke atas bukan Islam. 

Mari kita bayangkan sekiranya situasi Indira Gandhi ini terjadi kepada keluarga Islam. Anak-anak yang lahir dalam agama Islam ini dipaksa untuk menukar agama lain. Apakah pula sikap kita? Pastinya, kita akan marah dan sedaya upaya memastikan penukaran agama itu tidak sah dan dibatalkan, Begitu jugalah dengan perasaan Indira Gandhi, si ibu yang mengharapkan anak-anaknya kembali memeluk agama asalnya. 

Tidakkah kita gembira apabila melihatkan keadilan untuk mendapatkan hak beragama dikembalikan? Tidakkah kita gembira Islam kini tidak lagi menjadi beban kepada kehidupan mereka selepas ini? Dan tidakkah kita gembira Islam terlepas daripada fitnah akibat ketidakadilan yang berlaku selama 9 tahun ini? 

Keputusan mahkamah ini sewajarnya diraikan kerana ia selari dengan sabda Nabi yang menyatakan “Ketahuilah! Sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat” (Riwayat Abu Daud). 

Alhamdulilah. – 31 Januari, 2018.

* Farhan Haziq bin Mohamed seorang peguam merangkap Timbalan Ketua Pemuda DAPSY Subang dan ahli Biro Undang-Undang Pemuda Pakatan Harapan

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen