Doktor Afrika Selatan dakwa varian Omicron tidak bahaya


Berita pengumuman varian Omicron mencetuskan panik apabila kebanyakan negara berlumba-lumba mengenakan sekatan perjalanan ke atas negara Afrika bagi membendung penularannya. – Gambar EPA, 28 November 2021.

SEORANG doktor di Afrika Selatan yang membangkitkan isu mengenai Omicron mendakwa kebanyakan pesakit dijangkiti varian baharu Covid-19 itu hanya menunjukkan simptom ringan dan pulih sepenuhnya tanpa dimasukkan ke hospital.

Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, Angelique Coetzee memberitahu AFP bahawa beliau telah memantau kira-kira 30 pesakit yang disahkan positif Covid-19 sejak 10 hari lalu tetapi hanya menunjukkan gejala pelik.

“Apa yang dialami pesakit adalah keletihan melampau,” katanya yang bertugas di sebuah hospital di bandar Pretoria.

Beliau berkata ini adalah perkara luar biasa untuk pesakit lebih muda.

Kebanyakannya adalah lelaki berumur bawah 40 tahun. Hanya separuh daripadanya telah divaksin.

Mereka juga mengalami kekejangan otot ringan, “gatal tekak” dan batuk kering, katanya. Hanya sebahagian pesakit mengalami suhu badan tinggi.

Gejala sangat ringan ini berbeza dengan varian lain yang menunjukkan simptom lebih teruk.

Coetzee memaklumkan kepada pegawai kesihatan bahawa “gambaran klinikal tidak sama dengan Delta” – varian dominan di Afrika Selatan – pada 18 November, ketika beliau menerima tujuh daripada 30 pesakit pertama itu.

Katanya, saintis Afrika Selatan pada masa itu telah mengenal pasti varian baharu Covid-19. Varian itu kemudiannya diumumkan sebagai B.1.1.529 pada 25 November.

Berita itu mencetuskan panik larangan perjalanan ke atas selatan Afrika apabila kebanyakan negara berlumba-lumba membendung penularannya – langkah yang dianggap kerajaan Afrika Selatan sebagai “tergesa-gesa” dan tidak adil.

Coetzee berkata adalah tidak wajar Omicron digembar-gemburkan sebagai “varian Covid-19 berbahaya” dengan pelbagai mutasi sementara tahap penularannya masih belum dikenal pasti. – AFP, 28 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen