Lawatan rasmi PM ke Singapura esok


Ismail Sabri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Singapura esok bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, lawatan itu juga sempena pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura melalui udara dan sempadan darat.

Menurutnya, Ismail Sabri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob dan bermesyuarat dengan rakan sejawatnya Lee.

“Kedua-dua pemimpin akan berbincang mengenai kerjasama dua hala Malaysia-Singapura, termasuk mengenai peluang kerjasama baharu, terutama dalam usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19. Kedua-dua Perdana Menteri juga akan saling bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, lawatan itu akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, Ismail Sabri akan diiringi oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad serta pegawai kerajaan daripada kementerian dan agensi berkaitan. – Bernama, 28 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen