Eksport negara cecah RM1.2 trilion tahun ini, kata menteri


Menurut Azmin, sasaran yang ditetapkan di bawah RMK12 dapat dicapai empat tahun lebih awal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2021.

NILAI eksport negara dijangka mencecah RM1.2 trilion tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk prestasi nilai eksport sebanyak RM1.24 trilion dan negara dapat mencapainya empat tahun lebih awal daripada sasaran.

Katanya, lebih membanggakan apabila negara mencatat nilai eksport sebanyak RM114 bilion bagi tempoh Oktober lalu yang juga nilai tertinggi pernah dicatatkan.

“Ini membuktikan langkah kerajaan untuk membuka semula sempadan sama ada daerah, negeri dan negara memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan asing untuk terus melabur di negara ini,” katanya pada sidang media selepas program semarak prihatin negeri Selangor di ibu pejabat polis daerah Kajang hari ini.

Mengenai prestasi pelaburan negara bagi tempoh September hingga November ini, katanya negara mencatat pelaburan lebih RM300 bilion, melebihi sasaran RM270 bilion yang ditetapkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, pencapaian sasaran itu membuktikan pelabur asing yakin dengan ekosistem perniagaan dalam negara dan dasar pelaburan yang diperkenalkan iaitu Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA). – Bernama, 28 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen