KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan sejumlah 15,200 peniaga luar bandar di seluruh negara terbabit dengan model perniagaan secara digital atau e-dompet menjelang 2022.
Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, bagi mencapai sasaran itu, kementerian dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan akan memperluaskan lagi program inisiatif pendigitalan sektor peruncitan (ReDI) di setiap negeri.
“Program ini diadakan bagi memastikan peniaga kecil tidak ketinggalan dalam arus perdana dan membantu perniagaan kecil di kawasan pedalaman membabitkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ReDI negeri Sarawak di Kapit, hari ini.
Nanta berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan transaksi e-dagang melonjak hingga 30% iaitu RM254.6 bilion pada suku pertama 2021.
“Berdasarkan rekod Bank Negara, penggunaan e-dompet atau ‘e-wallet’ juga menunjukkan peningkatan sebanyak RM600 juta pada 2020, berbanding tahun sebelumnya yang hanya mencatat sebanyak RM300 juta,” katanya.
Nanta berkata, peningkatan itu amat signifikan dan memperlihatkan kadar penerimaan penggunaan transaksi tanpa tunai di negara ini.
Setakat ini, sejumlah 1,734 peniaga di daerah Kapit mendaftarkan perniagaan mereka dengan penyedia e-dompet.
“Di Pasar Teresang (pasar basah di Kapit) sahaja, sejumlah 27 peniaga mendaftarkan perniagaan mereka. Ini menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan dan kita jangka jumlah ini akan meningkat.
“Pelaksanaan ReDI ini juga dilihat mampu memberikan satu momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama untuk pemain industri sektor peruncitan,” katanya.
Pada majlis itu, Nanta turut mengumumkan sumbangan e-dompet bernilai RM50 setiap satu kepada lebih 400 belia serta peniaga di daerah Kapit yang menggunakan transaksi aplikasi itu. – Bernama, 28 November, 2021.
Komen