Kalah PRN Melaka: Siapa yang putus asa?


SEMENJAK kekalahan PKR di semua kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, ura-ura mengatakan Anwar Ibrahim tidak layak berada di kerusi ketua pembangkang tersebut hangat kembali. 

Hal ini bukan pertama kali didendangkan, tetapi naratif ini sudah bermula semenjak Anwar keluar dari penjara semenjak kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu oleh sesetengah pihak yang ingin melihat perpecahan dalaman PH.

Saya faham ramai yang khuatir dengan politik sosok yang diagung-agungkan oleh PKR ini kerana apabila ia membabitkan nama “Anwar Ibrahim” sudah pasti ramai yang kepanasan. 

Jika kita lihat hari ini, negara sedang mengalami krisis kepimpinan yang dahsyat. 

Selepas figura bernama Dr Mahathir Mohamad, pemimpin yang dikenali di peringkat antarabangsa tidak lain tidak bukan hanyalah insan bernama Anwar Ibrahim. 

Saya pasti ramai bersetuju ketika ini tiada calon pemimpin pembangkang yang lebih berkaliber dan mempunyai pengaruh selain daripada Anwar Ibrahim.

Ketokohan Anwar juga bukan calang-calang. Beliau diiktiraf antara 100 pemimpin Muslim berpengaruh dunia malah pencapaian beliau ketika berada dalam pentadbiran Malaysia juga diakui ramai seperti dianugerahkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia, Presiden Konvensyen Unesco ke-25, Pengerusi Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta lain-lain lagi. 

Gerakan reformasi yang dilancarkan beliau akhirnya membawa kemenangan PH buat pertama kali dalam sejarah negara sekaligus menamatkan era pentadbiran BN selama enam dekad.

Semestinya apabila berbicara tentang kemenangan PH pada PRU14 yang lalu banyak faktor yang menyumbang kemenangan tersebut. 

Namun harus diingat, faktor utama mengapa tercetusnya kemenangan tersebut kerana rakyat Malaysia inginkan reformasi institusi di dalam negara ini. 

Angkara rasuah negara kita menempa nama di persada dunia, bahkan Dr Mahathir yang dahulunya membakul sampahkan idea reformasi Anwar 20 tahun lalu kini turut serta melaungkan reformasi. 

Aneh dan lucu sekali jika difikirkan kembali betapa putaran roda itu sentiasa ada.

Hari ini kita lihat betapa banyak sekali wacana-wacana berkenaan reformasi institusi dan bagaimana untuk membasmi rasuah. 

Jika tidak kerana insan yang bernama Anwar Ibrahim berkeras memperjuangkan reformasi institusi, kita pasti masih lagi terbelenggu dengan sistem pentadbiran lapuk yang kekal dengan polisi pecah dan perintah berunsurkan perkauman ini.

Malah rakyat Malaysia pula makin celik akan peranan mereka sebagai pengundi. 

Begitu juga, sepanjang gerakan reformasi ini begitu ramai pemimpin-pemimpin muda dilahirkan. Proses reformasi ini masih berjalan ketika ini. 

Hari ini hanya kerana satu kekalahan yang memalukan, begitu laju suara-suara mengatakan beliau tidak layak lagi. Apa bukti Anwar Ibrahim tidak layak? 

Sedangkan hari ini atas derita dan pengorbanan beliau juga pembangkang diiktiraf dan digeruni buat pertama kalinya dalam sejarah negara.

Sebagai pemimpin muda, pastinya saya kesal dengan tohmahan dari rakan-rakan komponen parti yang begitu cepat menuding jari sedangkan mereka mendapat laba dan menari hasil daripada derita dan pengorbanan insan yang bernama Anwar Ibrahim. 

Hari ini juga, belum ada pemimpin yang mampu menyaingi ketokohan dan kepimpinan beliau, jika ada namakan sudah pasti kami ternanti-nanti untuk pemimpin tersebut mengemudi barisan pembangkang hari ini.

Saya fikir Presiden PKR tidak mempunyai masalah untuk sesiapapun menjadi ketua pembangkang asalkan agenda reformasi itu diperjuangkan. Namun pemimpin mana yang mempunyai visi reformasi yang jelas seperti beliau?  

Yang ada sekadar menyampaikan ayat pemanis bicara tentang reformasi namun tidak benar-benar melaksanakannya. 

Hari ini Barisan Nasional (BN) juga berbicara tentang reformasi, begitu juga Dr  Mahathir dan beberapa individu berpengaruh dalam negara ini namun tidak benar-benar  melaksanakan agenda reformasi.

Disebabkan faktor inilah kami masih berpegang teguh akan kepimpinan beliau kerana kekuatan pembangkang hari ini hasil pengaruh Bapa Reformasi negara. 

Saya masih realistik dengan kepimpinan beliau wajar di saat negara berada dalam situasi bergolak. 

Tidak perlu kita khuatirkan siapa bakal calon Perdana Menteri, kami di barisan kepimpinan PKR jelas sekali ingin membawa agenda reformasi institusi secara menyeluruh. 

Persoalan tentang siapa calon Perdana Menteri tidak relevan di saat rakyat merana kerana kebobrokan sesetengah pemimpin.

Oleh itu, saya menyeru semua barisan pemimpin PH untuk rapatkan saf, refleksi dan berjuanglah demi rakyat dan negara. Kerana tanpa pembangkang yang kuat, negara kita akan mudah diperkotak-katikkan oleh individu yang dahagakan kuasa. 

Janganlah kita berputus asa dengan insan yang tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan agenda reformasi. – 28 November, 2021.

* P Prabakaran, Ketua AMK Wilayah Persekutuan


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen