SEORANG kanak-kanak berumur lima tahun maut terkena tembakan yang dilepaskan seorang remaja di Minnesota, Amerika Syarikat pada Hari Kesyukuran pada Khamis.
Remaja 13 tahun itu sedang membuat rakaman video media sosial bersama rakan, kata polis.
Polis dalam satu kenyataan di Facebook berkata ketika kejadian itu berlaku, kanak-kanak berkenaan berada dalam sebuah rumah yang sama di mana beberapa remaja sedang membuat rakaman video. Kanak-kanak malang itu maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan yang dilepaskan suspek.
Polis Brooklyn Park berkata siasatan awal mendapati insiden tersebut adalah tembakan yang tidak disengajakan, namun remaja itu ditahan dan ditempatkan di pusat tahanan juvana.
Identiti mangsa dan remaja terbabit masih belum dikenal pasti.
Dalam satu kejadian berasingan di South Fulton, Atlanta, seorang lagi kanak-kanak lima tahun maut dalam satu insiden tembakan.
Media melaporkan keluarga kanak-kanak itu, Khalis Eberhart, berkata mangsa mencapai sebuah pistol di atas kerusi lalu ia meletup.
Sementara itu, dalam kejadian ketiga, polis berkata seorang lelaki, Edilberto Pelaez Moctezuma, maut selepas terkena peluru sesat semasa sedang makan malam bersama keluarganya di Philadelphia. – AFP, 28 November, 2021.
Komen