.jpg)
HAK rakyat Kelantan seakan-akan diperkecil dan diperlekehkan sekali lagi dengan kenyataan Menteri Kewangan Malaysia Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang tidak selari dengan kenyataan kerajaan persekutuan sebelum ini.
Pembayaran wang ehsan adalah tidak sama dengan pembayaran royalti hasil minyak yang dinyatakan di dalam akta-akta berkaitan petroleum negara.
Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) memberikan hak penuh kepada Petronas untuk menguruskan dan mentadbir aktiviti minyak dan gas di Malaysia.
Syarikat-syarikat yang terlibat dengan penerokaan, pembangunan dan pengeluaran perlu mendapatkan lesen daripada Petronas sebelum memulakan aktiviti di kawasan perlombongan minyak dan gas di Malaysia.
Mengikut Seksyen 4 Akta 144, pembayaran wang tunai oleh perbadanan “sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan yang diletakhakkan padanya menurut Akta ini, Perbadanan itu hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui antara pihak-pihak yang berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan”.
Secara jelas, tiada jarak pengukur diletakkan di dalam akta ini bagi menyatakan bahawa kerajaan negeri Kelantan tiada hak royalti petroleum kerana jarak melebihi 3 batu nautika atau 5.56 km.
Sebagai jarak pengukur, medan minyak dan gas di utara Malaysia dari Kota Bharu adalah sekitar 150 km. Jarak medan minyak terdekat dari Kerteh, Terengganu adalah sekitar 170 km.
Mengapa ada ketidakadilan apabila Negeri Terengganu mendapat royalti minyak, namun di Kelantan dikenali sebagai wang ehsan?
Medan pengeluar minyak dan gas yang hampir dengan Kelantan adalah medan Bintang, Lawit dan Bergading. Medan Bintang merupakan pengeluar gas terbesar di Semenanjung Malaysia.
Di utara Malaysia, bersempadanan dengan Thailand, kawasan pembangunan Petroleum dikenali sebagai Malaysia-Thailand Joint Development Area (MTJDA), yang jaraknya dekat dengan Kota Bharu, mengeluarkan hasil gas sekitar 1.3 bilion kaki persegi gas setiap hari, dengan pengeluaran dari medan-medan gas seperti Medan Bulan, Cakerawala, dan Muda.
Mengikut Akta MTJA 1990, syarikat minyak dan gas perlu membuat pembayaran sebanyak 10% daripada pengeluaran kasar bagi tujuan royalti. Pembayaran sememangnya dibuat setiap tahun oleh syarikat-syarikat pengeluar, namun ke mana wang itu digunakan?
Ikatan Negeri Kelantan menyokong penuh kenyataan menteri besar Kelantan bertarikh 27 November 2021, yang mahukan penjelasan lebih terperinci daripada menteri mewangan dan sebarang kenyataan daripada kerajaan persekutuan perlu berlandaskan konsep federalisme dan semangat Keluarga Malaysia.
Rakyat Kelantan adalah rakyat Malaysia juga. Wang royalti dari laut Kelantan dapat digunakan untuk pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
* Shahir Adnan, pengerusi Ikatan Kelantan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen