Jerman umum suspek pertama dijangkiti varian Omicron


Menteri Hal Ehwal Sosial Klose berkata ujian pada lewat Jumaat ke atas pengembara yang pulang ke Jerman dari Afrika Selatan mendedahkan ‘beberapa mutasi tipikal Omicron’. – Gambar EPA, 27 November 2021.

SEORANG pegawai wilayah di Jerman berkata pihak berkuasa kesihatan negara itu telah mengenal pasti kes pertama varian baharu Covid-19 terhadap individu yang baru pulang dari Afrika Selatan.

“Varian Omicron berkemungkinan besar sudah tiba di Jerman,” kata Menteri Hal Ehwal Sosial di barat Hesse, Kai Klose dalam tweet, merujuk kepada stain yang pertama kali dikesan di selatan Afrika itu.

Klose berkata ujian pada lewat Jumaat ke atas pengembara yang pulang ke Jerman dari Afrika Selatan mendedahkan “beberapa mutasi tipikal Omicron”.

“Oleh kerana terdapat syak wasangka yang kuat ini, individu tersebut telah diasingkan di rumah. Penjujukan lengkap sedang dijalankan.”

Klose berkata, individu tersebut tiba di Jerman menerusi lapangan terbang antarabangsa Frankfurt.

Menteri Kewangan Jerman Olaf Scholz yang dijangka mengangkat sumpah menggantikan Angela Merkel awal bulan depan, menegaskan gabungannya akan melakukan “segala yang perlu” untuk memerangi virus itu dan variannya.

“Kami sedang menubuhkan pasukan krisis dan sedang membangunkan pendekatan baharu yang tepat untuk menghadapi cabaran semasa Covid-19 dan Omicron,” tweetnya.

“Kami akan melakukan semua yang perlu. Tiada apa-apa yang tidak boleh dipertimbangkan,” katanya, apabila seruan semakin kuat untuk mewajibkan vaksinasi pengambilan vaksin Covid-19.

Ini merupakan kes kedua selepas Belgium mengesan kes pertama varian baharu Covid-19 di Eropah semalam terhadap individu tidak divaksin yang pulang dari luar negara. – AFP, 27 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen