TENTERA laut dan udara China melakukan “rondaan kesiapsiagaan tempur” berhampiran Selat Taiwan berikutan lawatan kontroversi sekumpulan ahli kongres Amerika Syarikat (AS) ke pulau itu, kata jurucakap.
Ketegangan antara Beijing dan Washington memuncak berhubung nasib Taiwan, selepas China berikrar untuk mengambil semula pulau itu suatu hari nanti, secara paksa jika perlu.
Sekumpulan ahli kongres AS tiba di pulau itu pada Khamis bagi menawarkan sokongan kepada pihak berkuasa Taiwan yang didakwa Beijing sebagai mencari kemerdekaan kepada pulau itu.
Menurut jurucakap Angkatan Tentera Timur China dalam satu kenyataan berkata, sebagai tindak balas, tentera China pada Jumaat menjalankan “ronda kesiapsiagaan tempur tentera laut dan udara ke arah Selat Taiwan.
“Ini adalah langkah yang perlu sebagai tindak balas kepada situasi semasa di Selat Taiwan,” tambah mereka, sambil berjanji tentera akan “melindungi kedaulatan dan integriti wilayah republik itu.”
“Tentera akan terus berjaga-jaga dan mengambil semua langkah perlu untuk menentang sebarang campur tangan kuasa luar dan sebarang konspirasi pemisah pada bila-bila masa bertujuan untuk apa yang disebut sebagai ‘kemerdekaan Taiwan’.”
Tiada maklumat lanjut berhubung rondaan itu setakat ini.
Kementerian luar China pada Jumaat menyatakan “bantahan tegas” Beijing terhadap lawatan ahli kongres AS kedua ke pulau itu bulan ini.
Delegasi yang diketuai pengerusi Jawatankuasa Dewan Mengenai Hal Ehwal Veteran, Mark Takano, itu bertemu Presiden Taiwan Tsai Ing-wen pada Khamis sebagai tanda sokongan terhadap isu yang jarang berlaku di mana terdapat konsensus rentas parti di AS.
“Taiwan akan terus meningkatkan kerjasama dengan AS untuk menegakkan nilai kebebasan dan demokrasi kita bersama, dan untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata Tsai.
China meningkatkan tekanan ke atas Taiwan sejak pilihan raya Tsai pada 2016, di mana partinya sudah lama menyokong pemerintahan sendiri ke atas pulau itu.
Beijing menentang sebarang penggunaan perkataan “Taiwan” atau sebarang rujukan kepada pulau itu sebagai “negara” dan isyarat diplomatik yang mungkin memberikan rasa legitimasi antarabangsa kepada pulau itu. – AFP, 27 November, 2021.
Komen