Ukraine sedia berdialog dengan Rusia berhubung krisis Donbas


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky semalam berkata negara itu bersedia untuk mengadakan dialog dengan Rusia berhubung krisis Donbas. – Gambar EPA, 27 November, 2021.

UKRAINE bersedia untuk mengadakan dialog dengan Rusia berhubung krisis Donbas, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Agensi Berita Ukrinform. 

“Kami bersedia untuk perbincangan. Jika anda tidak mahu bertemu, mari berbincang melalui telefon,” kata Presiden Volodymyr Zelensky semalam.

Beliau berkata Ukraine bersedia untuk menyelesaikan konflik Donbas bukan sahaja menerusi kerangka “Format Normandy”, tetapi juga dengan penglibatan Amerika Syarikat. 

Kyiv bersedia mencari penyelesaian diplomatik kepada krisis itu, tegasnya.

Konflik di timur Ukraine itu tercetus sejak April 2014 dan telah meragut kira-kira 14,000 nyawa.

Pada Jun 2014, “Format Normandy” juga dikenali sebagai kumpulan hubungan Normandy, terdiri Ukraine, Rusia, Jerman dan Perancis, telah ditubuhkan untuk menyelesaikan konflik itu.

Hubungan antara Kyiv dan Moscow meruncing sejak awal 2014 akibat perbezaan pandangan mengenai perkembangan di Donbas dan Crimea. – Bernama, 27 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen