Riwayat Mat Bodoh dan Minah Bebal


GURU, pemikir, ahli falsafah pasca moden counter culture Slavoj Zizek dari Slovenia pernah berkata bahawa dia merasa kecewa terganggu susah hati apabila melihat orang bodoh gumbira.

Gua kurang faham kenapa si Zizek ini terganggu? Kenapa ahli falsafah tersohor ini merasa gusar dan risau?  Apa yang merisaukan? Kenapa susah hati apabila ada orang bodoh gumbira.

Tidak bersetuju. Amat jelas – gua, Hishamuddin Rais tidak bersetuju dengan pandangan ahli falsafah ini.  Gua seratus peratus menolak pandangan Zizek. Gua adalah orang pertama dalam dunia ini yang mengalu-alukan sosok bodoh. Gua mahu merayakan Mat Bodoh dan Minah Bebal.

Gua akan mendakwah. Gua akan menulis. Gua akan berhujah. Gua akan menghasut sesiapa sahaja – agar orang ramai – menyambut saranan gua untuk merayakan Mat Bodoh dan Minah Bebal.

Lagi bangang Mat Bodoh dan Minah Bebal ini,lagi wajib kita rayakan mereka.

Pada tahun 1884 – 170 tahun dahulu – Karl Marx dan Friedrich Engles dalam Manifesto Komunis telah mengeluarkan slogan berbunyi: Kaum Buruh Sedunia Bersatulah, Kamu Tidak Hilang Apa-apa Kecuali Tali Penindasan.

Pada tahun 2018 ini, Hishamuddin Rais mengeluarkan slogan: Sang Bangang Sedunia Bersatulah – Tidak Akan Hilang Kebodohan Kamu. Slogan inilah yang akan gua arak ke hulu ke hilir untuk untuk merayakan Mat Bodoh dan Minah Bebal.

Tidak adalah kegumbiraan yang menggumbirakan melainkan melihat Mat Bodoh dan Minah Bebal dalam keadaan yang amat bodoh. Justeru, Profesor Zizek yang tersohor itu tidak seharusnya bersusah hati. Bodoh akan membawa gumbira.

Mungkin pada hemat sesetengah orang, bangang dan bodoh ini bertahap-tahap. Ada bodoh yang lebih bangang. Dan ada bodoh yang lebih bodoh dari bangang. Ada bebal yang bangang. Ada bangang yang lebih bebal. 

Apakah benar bodoh dan bangang ini bertahap-tahap, bertingkat-tingkat? Ada yang lebih bodoh dan ada yang lebih bangang. Apakah ada bodoh yang lebih bangang dari bebal? Apakah ada bangang yang lebih baghal dari bodoh?  Perkara ini gua tak berapa jelas.

Untuk menghalusi pengkajian mari kita bersama selidiki perkataan bodoh ini. B-O-D-O-H adalah konsep. Pada masa yang sama, bodoh juga ialah kata sifat. Ini menjadikan perkataan dan konsep bodoh ini cukup menarik. Justeru berkemungkinan, perkataan bodoh ini jika diatur dengan baik boleh dibaca ‘cool’.

Hakikatnya dalam konsep/kata sifat ini ada perkataan bodoh, bangang,  bebal, baghal, bahlol dan ngok.  Semua membawa makna bodoh. Semuanya menunjukkan konsep dan perangai dan sifat seseorang.

Gua tak mahu menggunakan perkataan ‘kurang cerdik’ untuk memahami apa itu bodoh. Pada hemat gua jika kurang cerdik digunakan ini satu kesalahan yang amat besar. Jangan sesekali dihubungkan perkataan  bodoh dengan cerdik. Jangan.

Jika kita melihat Mat Bebal itu bangang maka kita katakan Mat Bebal ini  bangang. Kita wajib berkata benar, jujur, tepat dan ikhlas.

Kadang kala kita terdengar juga perkataan baghal. Ini maknanya bodoh. Baghal ini ialah sejenis binatang kacukan kaldai dengan kuda.  Sosok baghal ini tidak wujud di Gugusan Kepulauan Melayu. Baghal adalah warga asli dari negara padang pasir.

Justeru gua rasa konsep bodoh baghal ini hanya menjelma dalam budaya Melayu setelah Bani Melayu berjumpa dengan warga Saudi. Bila Melayu bertemu Saudi maka baghal mula muncul. Kebaghalan Bani Melayu ini muncul bila bertemu dengan warga Saudi.

Ngok juga bermakna bodoh. Gua rasa ini perkataan baru. Ketika gua membesar dahulu gua tak bertemu atau  tidak pernah terdengar  perkataan ngok ini. Mungkin dulu ngok belum diolah lagi.

Ngok mungkin perkataan baru saperti kantoi, cun, pot dan gian.  Mungkin ngok ini lahir dari budaya anak muda yang mahu menerangkan makna bodoh di kalangan anak-anak muda yang sedang bodoh. Atau ngok ini singkatan dari perkataan bongok yang juga membawa makna bangang.

Harus kita sedari bahawa ada lagi istilah bangang dan bodoh yang hanya digunakan di wilayah-wilayah tertentu sahaja. Mungkin ada perkataan spesial untuk bodoh dan bangang di kalangan Bajau Laut di Lahad Datu. Atau mungkin ada konsep dan perkataan bodoh yang lagi membodohkan di kalangan warga Bidayuh atau Iban di Sarawak. Dalam hal ini gua kurang arif.

Contoh terbaik ialah di Kelantan, bodoh dipanggil bengong. Orang Kelantan jika bertutur tidak akan lupa dengan bengongnya.  Perkataan bengong ini bila sampai ke Jelebu Negeri Sembilan berkalih menjadi pantengong. Nah! Inilah  contoh  perjalanan perkataan bodoh dan bangang dari wilayah ke wilayah.

Pasti ada pembaca yang akan bertanya kenapa pada tahun 2018 ini gua beriya-iya sangat mengeluarkan propaganda untuk merayakan Mat Bebal dan Minah Bengong. Apa untungnya dan apa faedahnya? Apakah perlu kita rayakan Mat Bangang dan Minah Bebal yang bodoh lagi baral?

Jawapannya cukup senang.  Menjadi bodoh bangang bebal bengong baghal dan ngok adalah hak asasi seseorang. Menjadi bodoh adalah hak asasi. Tidak ada sesiapa – individu, kerajaan atau daulah – yang boleh menafikan hak seseorang untuk menjadi bodoh.

Kita sebagai warga negara yang bertanggung jawab wajib menghormati hak individu atau hak kelompok atau hak persatuan untuk menjadi bodoh dan bangang. Bodoh adalah hak asasi.

Sekali lagi gua katakan: menjadi bodoh ialah hak asasi seseorang. Jangan ganggu dan jangan gugat jika ternampak Mat Bebal dan Minah Bodoh sedang beraksi.

Sayugia gua ingatkan bahawa bodoh dan bangang ini bukan satu  penyakit berjangkit. Justeru kita tidak perlu risau. Jika seseorang itu bangang  dan sedang melakukan perkara yang  bodoh, yakinlah ianya tidak akan berjangkit . Ini kerana bodoh dan bangang tidak membawa kuman atau virus.

Belum pernah tercatit kes mati disebabkan bodoh. Atau wabak bodoh merebak seperti wabak SARS.

Contohnya, ada seorang Mat Bebal menginap di Flat 223 Blok D Perumahan PPRT  Pantai Dalam. Mamat ini memang terbukti bebal lagi bodoh. Tapi warga Kuala Lumpur tak perlu risau. Kebebalan Mamat ini tidak akan merebak dari Lembah Pantai. Malah dalam Blok D pun ianya tidak akan berjangkit ke Flat 222 atau ke Flet 224. Kita semua selamat dari Mamat Bebal ini.

Gua juga mahu memberitahu dunia bahawa bodoh, bangang, bebal, ngok, bengong bukan satu jenayah. Bukan satu kesalahan melanggar undang-undang jika menjadi Mat Bebal yang bodoh. Atau menjadi Minah Bangang yang bebal. 

Di Malaysia setakat ini, bodoh dan bangang belum ditafsirkan sebagai satu kesalahan jenayah dalam hukum kanun negara. Malah dari apa yang gua baca belum ada sebuah negara pun dalam dunia ini yang menganggap  Mat Bebal dan Minah Bodoh sebagai penjenayah.

Setelah gua terangkan semua ini maka gua rasa kita tidak perlu menyimpan  syak wasangka terhadap Mat Bebal dan Minah Bangang. Jika kita terbaca apa-apa tentang kelakuan atau tentang saranan atau tentang pandangan Mat Bebal dan Minah Bangang anggaplah semua itu sebagai satu hak asasi mereka  untuk jadi bangang.

Sebelum gua mengundur biar gua bersurah tentang Riwayat Mat Bebal untuk menjadi panduan kita semua.

Pada satu malam hujung minggu gua bersama  beberapa rakan telah duduk di warong untuk makan malam. Ada kawan minta mee goreng, nasi ayam, mee bandung. Gua meminta nasi goreng. Bersama kami terselit seorang Mat Bebal.

Bila ditanya mahu makan apa si Mat Bebal ini terus bersuara: “Tak suka nasi goreng.” 

Jawapan ini gua faham. Ini hak asasi Mat Bebal untuk tidak menyukai nasi goreng. Adalah hak Mat Bebal ini untuk tidak berminat terhadap nasi goreng. Gua hormat akan keputusan itu.

Lalu gua bertanya lagi: “Kalau tidak suka nasi goreng, suka apa?”

Si Bebal ini menaikkan suara dan terus berkata “aku tak suka nasi goreng”.

Suaranya agak meninggi. Seorang Minah Cun dengan balaknya di meja sebelah menjeling melihat kami.

Lalu gua bertanya lagi dengan sopan untuk mengelak dari menimbulkan suasana di warung ini.

“Aku tak suka Nasi Goreng… tak faham ke?”

“Gua faham. Kalau tak suka nasi goreng, suka apa?”

“Aku tak suka nasi goreng”. Si bebal ini mula menjerit. Para pelanggan warung mula memasang mata ke arah kami.

Tetiba Mat Bebal ini mula beratip. Mengulang-ulang kata-katanya. “Aku tak nak nasi goreng. Aku tak minat nasi goreng. Aku tak mahu nasi goreng. Tak nak. Tak minat. Tak mahu. Aku tak hendak nasi goreng…”

Gua bersuara. “…jadi kamu mahu apa?”

Mat Bebal: “Aku mahu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri.”

Gua tersenyum dan terus menjawab: “Anwar masih dalam penjara…”

Apakah bodoh sangat si Mamat Bebal ini untuk memahami bahawa si Anwar ini masih  lagi seorang banduan.

Mat Bebal terus melaung. “Aku tak suka nasi goreng. Kalau kau makan nasi goreng aku akan pecahkan pinggan nasi goreng kau…”

Gua bangun tersenyum dan terus berkata kepada semua yang mahu mendengar.

“Inilah Riwayat Mat Bebal lagi bodoh. Bebal lagi bengong. Baghal lagi ngok. Bila ditanya nak apa, bila ditanya nak siapa, Mat Bebal ini hanya mahu pecahkan pinggan.”

Tapi yakinlah dunia kita terus jadi indah dengan wujudnya Mat Bebal dan Minah Bengong di sekeliling kita. Tanpa mereka gua akan menjadi macam Zizek – resah gelisah tak senang hati. Tanpa Mat Bebal dan Minah Bengong, gua susah untuk gumbira.

Terima kasih Mat Bebal dan Minah Bangang kerana menghiburkan hati gua.

Amin. – 31 Januari, 2018.

* Hishamuddin Rais adalah aktivis politik.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen