Covid jangka panjang boleh bawa maut, kata doktor


Ragananthini Vethasalam

Doktor berkata pesakit Covid jangka panjang yang mempunyai dua kategori berisiko untuk maut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2021.

COVID jangka panjang berpotensi membawa maut, kata Prof Madya Dr Tan Toh Leong yang merupakan doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Dr Tan berkata terdapat dua kategori pesakit Covid jangka panjang yang mungkin berisiko untuk dijangkiti virus itu.

Kategori pertama dikenali sebagai Ongoing Symptomatic Covid-19 yang berlaku dalam tempoh empat hingga 12 minggu selepas jangkitan dan yang kedua dikenali sebagai sindrom Post-Covid-19 yang berlaku dalam tempoh 12 minggu selepas jangkitan.

Terdapat dua kemungkinan mekanisme yang membawa kepada Covid jangka panjang. Yang pertama ialah apabila virus tidak dapat dibersihkan daripada sistem dan berterusan di dalam badan.

Ia selalunya memberi kesan kepada mereka yang mempunyai imuniti yang lemah, warga emas dan mereka yang mempunyai sejarah penyakit seperti kanser yang mengalami gangguan imun selepas kimoterapi.

Gejala berterusan sehingga sebulan selepas didiagnosis.

“Mereka tidak mempunyai antibodi untuk melawan virus supaya ia kekal di dalam badan lebih lama. Ia seperti satu simbiosis,” katanya.

“Bagi mekanisme kedua, walaupun virus sudah hilang, (pesakit mengalami) keletihan antibodi. Ini bermakna apabila anda dijangkiti Covid-19, badan masih belum pulih,” tambah Dr Tan.

Beliau berkata sesetengah pesakit tidak akan makan dengan baik apabila dijangkiti Covid-19 kerana hilang selera makan dan deria rasa serta bau. Ini boleh menyebabkan mereka kekurangan zat makanan.

“Ini terutama berlaku kepada mereka yang berada dalam Tahap 4 dan Tahap 5 serta dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau menjelaskan pesakit yang dirawat lebih lama di ICU dan di bawah sokongan ventilator mungkin menghalang keupayaan tubuh untuk mendapatkan nutrisi yang diperlukan.

“Kedua-dua kumpulan ini (Tahap 4 dan 5) mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi kerana jika virus itu berterusan di dalam badan, maka pasti ada risiko yang lebih tinggi untuk menyebabkan badan pesakit penat,” kata Dr Tan sambil mengingatkan Covid-19 belum lagi mempunyai ubat anti-virus.

Beliau berkata pesakit Covid jangka panjang biasanya dikehendaki menjalani proses pemulihan.

“Biasanya mereka ada janji temu untuk berjumpa doktor bagi menilai sama ada mereka menghidap Covid jangka panjang,” katanya.

Dr Tan berkata kelesuan, kesukaran bernafas, hilang selera makan dan rasa lemah antara tanda-tanda Covid jangka panjang.

Beliau berkata pesakit perlu diperiksa jika mereka berasa tidak sihat dan letih dua hingga empat minggu selepas pulih dari Covid-19 terutama bagi mereka yang berada di Tahap 4 dan 5.

Dr Tan menyarankan bekas pesakit Covid-19 minum banyak air, mengambil multi-vitamin dan mengambil diet tinggi protein serta lemak.

“Semasa dijangkiti, makan makanan berprotein tinggi dan tinggi lemak sebanyak mungkin serta tambahkan vitamin ini,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 5,193 pesakit Covid jangka panjang menerima rawatan dan pemulihan setakat 30 Oktober.

Sementara itu antara November 2020 dan September tahun ini, Perkhidmatan Khusus Pesakit Luar (Cross) Pemulihan Covid-19 Hospital Sungai Buloh menyaksikan 2,712 kes gejala berterusan. Daripada jumlah ini, 13 pesakit meninggal dunia.

Kematian akibat Covid jangka panjang telah dilaporkan sebelum ini.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada April mendapat bekas pesakit Covid-19 berdepan peningkatan risiko kematian sebanyak 60% akibat komplikasi jangka panjang dalam tempoh enam bulan selepas jangkitan awal.

Kegagalan jantung, strok dan penyakit buah pinggang kronik adalah beberapa komplikasi berpotensi yang boleh berlaku dalam kalangan bekas pesakit Covid-19, menurut penyelidik di Sekolah Perubatan Universiti Washington di Missouri.

Kajian itu melibatkan lebih 87,000 orang yang dijangkiti Covid-19.

Ia menambah pesakit dimasukkan ke hospital yang berada di bawah penjagaan ICU berisiko tinggi untuk berdepan komplikasi Covid jangka panjang dan kematian. – 27 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen