-2.jpg)
PILIHAN Raya Umum (PRU) ke-14 akan diadakan tidak lama lagi. Pengagihan kerusi Parlimen dalam kalangan Pakatan Harapan di Semenanjung Malaysia pun turut ditetapkan. Seperti lumrahnya, DAP telah diagihkan kerusi Parlimen Teluk Intan di Perak yang ditandinginya selama ini. Dipercayai bahawa Barisan Nasional (BN) akan menghantar Presiden Gerakan, Mah Siew Keong untuk mempertahankan kerusi Parlimen ini.
Pimpinan DAP kebangsaan menganggap medan pertarungan PRU14 nanti adalah di Johor serta kawasan kubu Presiden MCA seperti Parlimen Bentong. Mungkin juga generasi muda DAP kini beranggapan bahawa kawasan di Perak seperti Parlimen Telok Intan sudah dipegang oleh parti pembangkang selama ini, maka fokus serta sumber tidak perlu ditumpukan ke kawasan sebegini yang kononnya mudah dimenangi.
Namun sekiranya diperhatikan keputusan PRU ataupun Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan sejak 1986 hingga 2013 termasuk dua keputusan PRK pada 1997 dan 2014, BN menang kerusi Parlimen tersebut sebanyak enam (6) kali dan DAP hanya berjaya memegang tiga (3) penggal sahaja dalam sembilan (9) pertarungan ini.
Oleh itu, Parlimen Teluk Intan pastinya bukan kawasan Parlimen seperti Parlimen Batu Gajah yang boleh dimenangi oleh sesiapa calon DAP sahaja.
Ahli Parlimen Teluk Intan kini, Mah merupakan orang tempatan Teluk Intan dan telah memegang kawasan Parlimen tersebut pada 1999 dan 2004. Namun beliau kecundang dalam kedua-dua PRU 2008 serta PRU 2013. Walau bagaimanapun, Mah berjaya merampas balik kerusi itu melalui PRK pada 2014 dengan majoriti tipis 238 undi.
Ramai turut menganggap bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Bedamar di bawah Parlimen Teluk Intan adalah kubu kuat DAP dan sesiapa calon BN pun akan kalah teruk di kerusi itu. Sejak 1986 hingga 2013, hanya seorang calon BN yang berjaya menembusi kerusi DUN tersebut dan individu tersebut ialah Mah. Beliau menang kerusi DUN itu pada PRU 1995.
Seperti mana kerusi Parlimen Bentong ataupun Ayer Hitam, Parlimen Teluk Intan wajib dimenangi oleh Pakatan Harapan sekiranya ingin mara ke Putrajaya.
Kini ada ura-ura bahawa DAP akan menghantar pemimpin kebangsaan seperti Liew Chin Tong untuk menawan Ayer Hitam dan ceramah berskala besar dengan kehadiran pimpinan kebangsaan turut diadakan di Bentong baru-baru ini demi menembusi Bentong.
Namun tidak nampak DAP berbuat demikian di kerusi Parlimen Teluk Intan yang sama sekali bukan kawasan selamat bagi calon DAP.
Berhadapan dengan Presiden Gerakan merangkap menteri kabinet yang juga anak tempatan, Pakatan Harapan khususnya DAP wajib menumpukan perhatian yang lebih banyak terhadap kawasan tersebut dan menghantar sekurang-kurangnya pemimpin negeri untuk bergiat aktif mulai sekarang demi menawan balik kerusi tersebut, dan bukannya terus bergantung kepada gelombang perubahan mahupun tsunami (tidak kira tsunami Melayu atau lain).
Sekiranya Wong Tack dan Liew Chin Tong diamanahkan untuk mengalahkan Liow Tiong Lai dan Wee Ka Siong, nescaya Parlimen Telok Intan pun memerlukan seorang tokoh parti pembangkang negeri yang terserlah seperti Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming ataupun Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh demi menumbangkan Presiden Gerakan ini.
Jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Pastikan kubu separuh pasir musuh di Perak diruntuhkan sebelum meluaskan harapan di selatan sana.– 31 Januari, 2018.
* Wong Kah Leong ialah pembaca The Malaysian Insight
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen