Tidak betul PAS tolak wanita pimpin kerajaan


SAYA jarang-jarang memberi komen mengenai parti Amanah. Ramai pemimpin parti tersebut adalah rakan-rakan saya.

Tetapi komen pemimpin Amanah semasa PRN Melaka lalu mengenai sikap PAS terhadap calon ketua Menteri dari kalangan wanita memerlukan pandangan balas.

FMT melaporkan “Mat Sabu dakwa PAS ubah-ubah pendirian” mengenai meletakkan seorang wanita sebagai calon ketua menteri. Alasannya, PAS pernah membantah pencalonan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor, tetapi menyokong Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri Melaka.

Saya ingin mengingatkan para pemimpin tertinggi Amanah mengenai satu muzakarah pimpinan tertinggi PAS yang diadakan di Markfield Islamic Centre, United Kingdom, pada 1999. 

Mungkin ramai aktivis Amanah yang terlalu muda dan tidak tahu mengenai muzakarah ini. Tetapi ada di antara yang hadir dalam muzakarah itu menjadi pemimpin Amanah sekarang (dulu mereka dalam PAS).

Tujuan muzakarah itu ialah untuk membolehkan pemimpin tertinggi PAS mendapatkan pandangan ulama-ulama besar mengenai beberapa isu, termasuklah boleh atau tidak seorang wanita mengetuai kerajaan baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Ulama yang dirujuk dalam muzakarah itu mengenai isu pemimpin wanita ialah Shaikh Yusuf Qardhawy, Shaikh Rached Ghannoushi dan Shaikh Kamal ElHelbawy. Sekitar 20 orang pemimpin PAS Pusat hadir, diketuai oleh Almarhum Ustaz Fadzil Nor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Saya antara yang terlibat menganjurkan muzakarah itu dan saya hadir mendengar perbincangan sepenuhnya.

Perbincangan mendalam berlaku semasa muzakarah. Pelbagai pandangan diutarakan. Dan akhirnya kefahaman yang dicapai ialah wanita diharuskan dipilih menjadi pemimpin kerajaan.

Saya melihat PAS sentiasa konsisten dalam isu pemimpin wanita. Muzakarah di Markfield itu mengabsahkan pandangan mengenai letak-duduknya kemuliaan seorang wanita dalam institusi pentadbiran. Muzakarah itu berlaku pada 1999 lagi.

Ramai muslimat PAS bertanding dalam pilihan raya, menjadi Adun, ahli Parlimen, dan juga memegang pelbagai jawatan dalam badan eksekutif negeri dan negara.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari telah pun menjelaskan bahawa sikap PAS dalam kes Dr Wan Azizah di Selangor adalah isu merit, bukan gender. Apabila merit dijadikan ukuran, sudah tentulah ada yang layak dan ada yang tidak, tanpa mengira gender.

Jadi adalah tidak benar jika ada mana-mana pihak mahu memberi konotasi negatif mengenai sikap PAS terhadap martabat wanita. Apatah lagi jika insinuasi itu datang dari pemimpin parti Amanah yang berasal daripada PAS dan sepatutnya tahu sikap sebenar PAS berkaitan isu ini.

Kita boleh berbeza pandangan. Tetapi janganlah sehingga mencipta insinuasi yang salah terhadap saingan politik. – 26 November, 2021.

* Wan Saiful Wan Jan, ketua penerangan Bersatu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen