PAS tak mahu terus dibelenggu dengan Umno, kata Hadi


Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kanan) akhirnya mengumumkan keengganan partinya bersama Umno dalam Muafakat Nasional, mahu bersama Perikatan Nasional dengan peranan dan kuasa yang lebih besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2021.

PAS enggan dibelenggu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan sebaliknya mahu terus bergerak dengan Perikatan Nasional (PN), kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, PN perlu menjadi gagasan politik dengan peranan dan kuasa lebih besar manakala golongan yang disifatkannya pendukung penjajah pula perlu disingkirkan.

“Dalam pada itu, mesti diterima hakikat bahawa Perikatan Nasional (PN) yang menjadi gagasan politik yang lebih besar, perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk ini.

“Maka, PAS hanyalah berpegang kepada konsep perpaduan mengikut perspektif Islam, iaitu perpaduan umat Islam dan perpaduan umat manusia yang majmuk termasuklah dalam kalangan bukan Islam.

“Oleh itu, PAS menolak MN yang terbelenggu dengan hanya melibatkan Umno dan PAS sahaja.

“PAS juga menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu PN,” katanya.

Presiden PAS itu menyatakan demikian dalam salah satu versi kenyataannya yang disiarkan lidah partinya Harakahdaily pada malam tadi.

Keputusan itu menyusuli tindakan PAS yang berjaya meraih jumlah undi walau tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya negeri Melaka minggu lalu atas tiket PN.

PRN juga membolehkan Barisan Nasional (BN) menang besar dan mendorong para pemimpin parti itu untuk menggesa agar pilihan raya umum diadakan segera.

Dalam kenyataannya, Hadi tidak menjelaskan golongan disifatkannya sebagai “pendukung penjajah yang menjadi makhluk perosak dalam keluarga Malaysia”.

Bagaimanapun, beliau menganggap BN yang merupakan parti gabungan ditunjangi Umno sebagai parti yang berpenyakit.

Oleh sebab itu, politik negara perlu diubah dan dilengkapkan dengan PN, katanya lagi yang menjelaskan ia bagi mengelakkan kesan seperti pilihan raya umum ke-14.

Seterusnya beliau menegaskan PAS tidak mahu menjadi parti yang menumpang sahaja dan sebaliknya mahu bersama-sama membina negara dengan acuan Islam.

“PAS bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

“PAS hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya.

“Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata,” katanya yang menegaskan MN perlu mengikut piagam yang dimaterai tanpa bercanggah dengan PN. – 26 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen