May tiba di China untuk buka peluang perdagangan pasca-Brexit


Theresa May tiba di Beijing hari ini dalam usaha untuk memulih dan melonjakkan ekonomi negara itu pasca-Brexit. Gambar May membelakangi jurugambar menuju masuk ke pejabatnya di 10 Downing Street, London. – Gambar AFP, 31 Januari, 2018.

PERDANA Menteri British Theresa May tiba di China hari ini sebagai usaha untuk melonjak perdagangan global selepas negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

May memulakan lawatannya dengan mengunjungi pusat industri Wuhan. Beliau akan berada di China sehingga Jumaat ini dalam apa yang disebut oleh Kementerian Luar China sebagai “lawatan bersejarah.”

Hari ini juga May akan ke Beijing untuk berjumpa dengan Perdana Menteri China Li Keqiang.

Pada Khamis pula beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden  Xi Jinping sebelum menutup sesi lawatannya dengan mengunjungi kawasan perniagaan di timur Shanghai.

Lawatannya itu hangat diperkatakan selepas Dewan Negara (House of Lords) meneliti rang undang-undang Brexit dan menteri berkait yang cuba merendahkan kebocoran laporan kerajaan berkaitan kerugian ekonomi yang akan dihadapi negara itu selepas meninggalkan EU.

Pejabatnya berkata lawatan itu sebagai “terbesar” yang pernah Britain lakukan di mana May membawa bersama delegasi seramai 50 ahli perniagaan dan wakil organisasi, selain suaminya, Philip May.

May juga dijangka mengambil peluang lawatannya itu untuk berbincang mengenai pelbagai isu termasuklah perubahan iklim dan juga Korea Utara.

Malah, China juga meletakkan harapan tinggi yang London akan menyokong insiatif Beijing dalam One Belt One Road (Obor).

Projek berskala mega itu bertujuan untuk mengembangkan lagi laluan perdagangan purba yakni Laluan Sutera sekali gus mencipta dan membuka peluang perdagangan yang lebih besar antara syarikat China dan dunia secara amnya.

Bagaimanapun, kerajaan British kurang optimis dengan projek itu apabila jurucakap May berkata, walaupun idea itu menjanjikan sesuatu, tetapi penting “projek Obor itu mencapai standard antarabangsa.”

Sebelum lawatan May bermula, bekas gabenor British di Hong Kong, Chris Patten menggesa May mengangkat isu kebimbangan politik kepulauan itu yang berada dalam wilayan separa autonomi.

Pada 1997, Hong Kong diserahkan kembali kepada Beijing yang kemudiannya membuka lembaran baharu pulau itu terutamanya dari sudut politik. – AFP, 31 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen