DUA pesawat Iraq berlepas ke Belarus pada Khamis untuk membawa pulang lebih 600 rakyatnya yang terperangkap di sempadan bekas negara Soviet itu dengan Poland, kata kementerian pengangkutan.
Beratus-ratus rakyat Iraq, kebanyakannya Kurdish, pulang minggu lalu dengan penerbangan pulang sukarela dari Belarus, di mana beribu-ribu pendatang telah berkhemah di sempadan selama berminggu-minggu dengan harapan untuk masuk Kesatuan Eropah (EU).
Jurucakap kementerian luar Iraq, Ahmed al-Sahaf berkata, seramai 617 orang akan dibawa pulang, lapor agensi berita rasmi Iraq.
Pesawat pertama dijangka mendarat di Arbil, ibu kota wilayah autonomi Kurdish di Iraq, selepas tengah malam, kata ketua perhubungan media asing Lawk Ghafuri di Kurdistan.
Pada 18 November, seramai 431 rakyat Iraq telah dibawa pulang dari Belarus, ramai yang pulang dengan perasaan bercampur baur.
Kebanyakan berkata mereka telah membelanjakan wang simpanan mereka, menjual barang berharga dan juga meminjam untuk melarikan diri dari kesusahan ekonomi di Iraq untuk memulakan kehidupan baharu di EU, tetapi mereka tidak pernah berjaya merentasi sempadan.
Barat menuduh Belarus membawa masuk pendatang, kebanyakannya dari Timur Tengah, dengan alasan palsu mereka akan menyeberang ke negara anggota EU iaitu Poland dan Lithuania.
Belarus menafikan dakwaan itu dan mengkritik EU kerana tidak menerima pendatang.
Kumpulan bantuan berkata sekurang-kurangnya 11 pendatang telah meninggal dunia di kedua-dua belah sempadan sejak krisis bermula pada musim panas, dan telah mengkritik kerajaan Poland berhubung dasar menolak pendatang. – AFP, 26 November, 2021.
Komen