BEBERAPA ribu penunjuk perasaan berarak melalui Madrid dan Barcelona semalam menuntut keganasan terhadap wanita dihentikan di negara yang mengutamakan langkah memerangi keganasan rumah tangga.
Perhimpunan itu diadakan sempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita dengan tunjuk perasaan turut diadakan di Valencia, Seville dan bandar-bandar lain di sekitar Sepanyol.
Di ibu negara Sepanyol, perarakan yang memakai topeng ungu, topi dan selendang berjalan di belakang sepanduk besar tertulis “Hentikan keganasan lelaki terhadap wanita. Cari penyelesaian sekarang!”.
Ramai yang membantah penderaan berterusan yang dihadapi oleh wanita.
“Kami muak dengan keganasan yang berterusan terhadap kami dalam pelbagai bentuk.
“Kami mahu melihat kegiatan pelacuran dihapuskan dan menamatkan pembunuhan, penderaan dan rogol,” kata Maria Moran, seornag penjawat awam berusia 50 tahun.
Ahli politik Sepanyol berulang kali berusaha menangani isu keganasan rumah tangga sejak 1997 apabila Ana Orantes yang berusia 60 tahun diserang, dicampak dari balkoni dan kemudian dibakar sehingga maut oleh bekas suaminya setelah mengecamnya di TV kerana dipukul berulang kali.
Pada 2004, Parlimen Sepanyol meluluskan undang-undang pertama Eropah yang membanteras keganasan berasaskan jantina.
“Membasmi keganasan jantina adalah keutamaan negara.
“Kita hanya akan menjadi masyarakat yang adil apabila kita menyelesaikan semua jenis keganasan terhadap wanita,” kata Perdana Menteri Sosialis Pedro Sanchez menerusi Twitter.
Setakat tahun ini, 37 wanita di Sepanyol dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan mereka dan 1,118 sejak 2003 apabila kerajaan mula membuat kiraan.
Hampir satu daripada tiga wanita di seluruh dunia berdepan keganasan fizikal atau seksual, kebanyakannya oleh individu yang mereka kenali, menurut Wanita PBB, organisasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk kesaksamaan gender.
“Keganasan terhadap wanita adalah krisis global. Di semua kejiranan kita sendiri ada wanita dan gadis yang hidup dalam bahaya,” kata pengarah eksekutif Sima Bahous dalam rakaman video
“Wanita mangsa keganasan perlu dilindungi oleh masyarakat.
“Pelbagai bentuk penganiayaan yang dialami ramai wanita. Kita tidak boleh memandang rendah hal ini,” katanya. – AFP, 26 November, 2021.
Komen