SPRM kemuka 17 lagi kertas siasatan kes Mitra


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM berkata dengan perkembangan itu sekurang-kurangnya 27 kertas siasatan berhubung penyelewengan dana Mitra dapat dikemukakan kepada bagi tindakan pendakwaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2021.

AGENSI antirasuah akan mengemukakan 17 lagi kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung kes penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata dengan perkembangan itu sekurang-kurangnya 27 kertas siasatan dapat dikemukakan kepada bagi tindakan pendakwaan.

“Apabila kertas siasatan itu dikemukan kepada (pendakwaan), kami menjangkakan banyak entiti berkaitan isu penyelewengan dana Mitra itu akan didakwa di mahkamah.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, terdapat 10 kertas siasatan akan diserahkan kepada DPP dan kita masih ada 17 lagi kertas untuk disiapkan. Kita jangka ramai entiti akan didakwa,” katanya.

Siasatan agensi antirasuah mendapati Mitra mengeluarkan peruntukan untuk 337 program bernilai lebih RM203 juta sejak 2019.

Siasatan SPRM dalam kes ini terbahagi kepada dua fasa, dengan fasa satu memberi tumpuan kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan NGO yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Setakat bulan lalu, sebanyak 10 syarikat sudahpun dicadangkan untuk didakwa, merangkumi peruntukan RM26 juta.

Menurut SPRM, siasatan melibatkan 10 syarikat itu mendapati kebanyakan kesalahan melibatkan salah guna geran untuk tujuan peribadi dan dokumen palsu.

Ia meliputi permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang didakwa dilaksanakan oleh penerima geran berkenaan dari 2019 hingga tahun ini.

Fasa kedua siasatan pula akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas.

Ia bagi memperhalusi kesahihan penggunaan geran Mitra, membabitkan peruntukan kurang daripada RM1 juta.

Mitra ditubuhkan tujuan asal untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India. – 26 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen