JERMAN mengumumkan rekod kematian dan jangkitan koronavirus pada Khamis ketika jumlah maut melepasi 100,000 ketika kerajaan baharu bersedia untuk mengambil alih.
Jerman berhadapan penularan pandemik lebih baik berbanding blok Eropah lain, namun baru-baru ini negara itu menyaksikan kebangkitan dengan katil unit rawatan rapi dengan cepat dipenuhi pesakit Covid-19.
Ekonomi terbesar Eropah itu merekodkan 351 kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kematian kepada 100,119, menurut angka dari Institut Robert Koch (RKI), sebuah agensi kesihatan awam.
Kadar kejadian mingguan juga mencecah paras tertinggi sepanjang masa iaitu 419.7 jangkitan baharu bagi setiap 100,000 orang, umum RKI.
Krisis kesihatan yang semakin memuncak menimbulkan cabaran kepada kerajaan gabungan baharu yang bakal mengambil alih kabinet Angela Merkel bulan depan.
Lonjakan di Jerman berlaku apabila Eropah muncul kembali sebagai pusat pandemik, dengan benua itu bergelut dengan peluncuran vaksin yang perlahan di beberapa negara selain kemunculan varian Delta, cuaca lebih sejuk membuatkan rakyat duduk di rumah dan juga pelonggaran sekatan.
Minggu lepas, lebih 2.5 juta kes dan hampir 30,000 kematian berkait Covid direkodkan di Eropah, menjadikannya setakat ini benua paling teruk dilanda virus itu, menurut AFP. – AFP, 25 November, 2021.
Komen