KM Sarawak mahu wakil Malaysia Timur dalam LHDN


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg ingin memperjuangkan hak negeri Malaysia Timur untuk mempunyai wakil dalam LHDN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021.

SARAWAK sekali lagi akan menggunakan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 untuk mempunyai wakil dari negeri itu atau Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Ketua Menteri Abang Johari Openg malam tadi.

Beliau memberitahu ketua komuniti dan tetamu pada majlis makan malam di Miri bahawa ia adalah hak yang Sarawak terlepas pandang.

“Ia ada dalam laporan IGC,” katanya merujuk kepada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, 1962.

“Apa yang ada dalam IGC mesti dihormati. Malangnya kita terlupa mengenainya. Sekarang saya berjanji kepada anda untuk memperjuangkannya,” katanya.

Abang Johari berkata mempunyai wakil dari Sarawak dalam lembaga pengarah adalah isu semak dan imbang – untuk Sarawak dan Sabah mendapatkan pengetahuan terperinci mengenai hasil yang dikutip daripada cukai di dua wilayah Borneo.

Ketua menteri berkata, pada masa ini tiada wakil sama ada dari Sabah atau Sarawak yang menganggotai lembaga pengurusan LHDN.

“Jika tiada seorang pun daripada kita berada di sana, maka kita tidak akan tahu berapa banyak hasil yang diperoleh daripada Sarawak.

“Sebaliknya, jika kita tahu angka sebenar, maka kita boleh tuntut bahagian (hak) yang mereka (LHDN) kumpul dari Sarawak untuk diberikan semula kepada kita.

Abang Johari berkata adalah penting bagi Sarawak untuk mengetahui jumlah kutipan kerajaan persekutuan daripada Sarawak.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka membolotnya sendiri.”

Beliau berkata isu itu amat penting.

Beliau berkata permintaan untuk mendapatkan tempat dalam lembaga pengarah boleh menjadi satu perjuangan seperti cukai jualan negeri terhadap produk petroleum dengan Petronas.

Abang Johari berkata jika Sarawak tidak terlepas pandang hak mengutip cukai daripada produk gas, negeri itu “akan mempunyai lebih banyak wang untuk pembangunannya.”

Beliau berkata sejak negeri mula mengutip cukai itu tiga tahun lalu, jumlah itu mencecah RM7 bilion.

“Itu hasil tambahan.”

Beliau berkata berbilion tambahan itu adalah sebab mengapa beliau berani memberi komitmen kepada kerajaan untuk membina projek mahal seperti lebuh raya pesisir pantai, mengambil alih pembinaan jambatan di lebuh raya yang terbengkalai oleh kerajaan Pakatan Harapan dan projek bekalan air di kawasan bermasalah di negeri ini.

Beliau berkata projek bekalan air sudah menelan belanja kerajaan negeri sebanyak RM4 bilion. – 25 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen