Buku rekod tak praktikal, pengunjung tak vaksin ambil kesempatan, kata persatuan


Ragananthini Vethasalam

Persatuan Pusat Beli-Belah berkata pihaknya sentiasa bertegas pastikan pintu masuk dijaga ketat agar pengujung selamat, sekali gus menjunjung perintah pihak berkuasa supaya tidak lalai SOP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021.

PUSAT membeli-belah akan terus menjaga keselamatan premisnya selepas ada yang didenda kerana tidak sediakan buku rekod, kata Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia.

Ia berkata aplikasi MySejahtera lebih bagus untuk sahkan status pembeli kerana buku rekod tidak dapat tentukan adakah pengunjung telah divaksin atau belum.

“Penggunaan buku rekod merupakan satu peluang yang jelas bagi pembeli yang tidak disahkan untuk masuk. Kakitangan pusat beli-belah tidak dapat sahkan status mereka dan kebanyakan premis tidak galakkan penggunaan buku rekod,” katanya.

“Walaupun pusat membeli-belah hilang pembeli dan terima lebih banyak aduan serta kekecohan dengan berbuat demikian, kami bertegas untuk pastikan penjagaan pintu masuk yang ketat bagi memastikan semua orang selamat, sekali gus menjunjung seruan pihak berkuasa untuk tidak lalai tentang SOP (Prosedur Operasi Standard) dalam senario semasa di mana Covid-19 sudah menjadi endemik,” tambahnya.

Persatuan itu berkata pusat membeli-belah perlu mematuhi SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa tempatan, yang kadangkala mungkin lebih ketat.

MKN menetapkan penggunaan MySejahtera untuk memasuki premis dan untuk penyediaan buku rekod oleh outlet.

Bagaimanapun, persatuan itu berkata buku rekod hanya dibenarkan di lokasi yang tiada liputan internet atau alasan lain yang munasabah seperti untuk warga emas atau mereka yang tiada telefon pintar.

“Oleh itu, jika tidak semua, pusat membeli-belah terletak di tempat yang ada liputan internet. Kami tegaskan selepas pemeriksaan suhu wajib di bawah 37.5C, semua status kesihatan pembeli adalah berisiko rendah atau kontak biasa, tiada gejala seperti yang ditentukan oleh MySejahtera sebelum mereka dibenarkan masuk dengan mengimbas kod QR. Ini satu-satunya cara untuk melindungi yang hanya pembeli ‘selamat’ dibenarkan masuk,” katanya.

Penggunaan buku rekod satu peluang bagi pembeli yang tidak disahkan untuk masuk dan kakitangan tidak dapat sahkan status mereka malah kebanyakan premis tidak galakkan penggunaan buku rekod, kata Pusat Beli-belah Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2021.

Beberapa pusat membeli-belah juga telah melaksanakan SOP tambahan seperti membuat ujian secara berkala terhadap pekerja mereka dan kontraktor luar.

“Jadi kenapa kita dihukum dan dihalang walaupun kita cuma cuba untuk jaga keselamatan komuniti kita? Kami benar-benar kecewa apabila dimaklumkan masih ada pusat membeli-belah yang didenda RM10,000 kerana tidak sediakan buku rekod di Lembah Klang di mana liputan internet jelas disediakan dengan baik,” katanya.

“Dengan semua kawalan ini, setiap persekitaran pusat membeli-belah, dengan sendirinya menjadi “dunia gelembung hijau” yang merupakan persekitaran selesa dan selamat untuk pembeli membeli-belah dengan bebas dan tenang,” tambahnya.

Persatuan itu mengulangi pusat membeli-belah komited untuk menjalankan langkah keselamatan kesihatan termasuk sanitasi harian, pembersihan premis, pemeriksaan berterusan untuk status vaksinasi penuh di perniagaan yang ditetapkan seperti yang ditentukan oleh SOP MKN.

Pusat membeli-belah tertentu di Lembah Klang hanya membenarkan pembeli yang sudah divaksin sepenuhnya dengan pengecualian untuk kategori orang tertentu seperti mereka berumur 18 tahun ke bawah yang datang bersama ibu bapa atau penjaga mereka.

“Kami akan terus patuh SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Kami sokong usaha berterusan dan selaras oleh pihak berkuasa untuk guna keputusan yang adil bagi menggalak dan mengekalkan pematuhan SOP serta tidak terhalang oleh diskriminasi dalam usaha negara untuk kawal pandemik ini,” katanya.

Malaysia melaporkan 5,755 kes baharu Covid-19 semalam.

Lembah Klang menyumbang 1,948 kes atau 34 peratus daripada kes. – 25 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen